Followers

There was an error in this gadget

Sunday, July 31, 2011

Bintang All Black peluk Islam

Menjadi sensasi dalam liga ragbi remaja, kemudian menyertai skuad bintang All Black, dan pada waktu yang sama menjadi peninju heavyweight yang berbakat. Tidak setakat itu, Sonny Bill Williams juga telah memeluk Islam.

Sekalipun terdapat khabar angin tentang bintang berusia 25 tahun ini memeluk Islam, namun akhbar Herald, Ahad lalu, mendedahkan bahawa beliau telah bersyahadah sejak dua tahun yang lalu.

Sejak itu, beliau menjadi Muslim pertama yang mengenakan jersi All Black, dan meminta makanan halal semasa kempen jelajah Hemisfera Utara tahun lepas.

Bulan Ramadan pada tahun ini akan jatuh dalam bulan Ogos – semasa All Black mengambil bahagian dalam pertandingan Tiga Negara. Di sinilah fasa terakhir persediaan pasukan bagi menyiapkan diri bertanding dalam Piala Dunia.

Menurut sahabatnya, Williams sering hadir menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di Christchurch.

Naib presiden Persekutuan Pertubuhan Islam NZ, Javed Khan, berkata bahawa komuniti Muslim memang sedia maklum tentang hal itu.

“Beliau mengamalkan agama dan beliau telah menjadi contoh yang baik untuk remaja. Kami berdoa supaya beliau akan memenangi Piala Dunia untuk kami. Semua orang bercakap tentangnya. Dalam komuniti Islam, setiap kami mengenali setiap seorang yang lain.”

Kedua-dua pengurus William, Khoder Nasser dan mentornya yang juga bintang liga dan peninju, Anthony Mundine (gambar mereka bertiga), adalah Muslim, begitu juga dengan adiknya Johnny, yang tinggal dengan beliau di Christchurch.

Kawan William, Tairek Smith berkata yang dia selalu bersembahyang bersama William sejak beliau memeluk Islam Sunni dalam satu majlis di masjid Regent’s Park di barat Sydney pada 2008, iaitu masjid yang juga dihadiri oleh Hazem El Masri (gambar), bekas rakan sepasukannya dalam Kelab Canterbury Bulldogs.

Pengurus All Black, Darren Shand (gambar) berkata kepercayaan agama bintang tersebut mempunyai kesan yang “minima” kepada pasukan.

Katanya: “Beliau telah memberitahu kami tentang keperluan dietnya dan kami memang telah beri kelonggaran. Kami sediakan daging halal dan lain-lain dan beliau tidak memperbesar-besarkan isu itu.

“Kami tidak membawa agama dan benda yang berkaitan dalam sukan ini. Itu adalah kehidupan peribadi mereka dan mereka yang menentukannya.”

Bila ditanya jika amalannya itu bercanggah dengan falsafah All Blacks yang menggalakkan pemain-pemain supaya berfikiran bebas dan berdikari, Shand berkata Williams adalah seorang yang jenis “menyerap” informasi.

“Itulah sebabnya beliau berjaya dalam semua sukan yang diceburi. Beliau hanya tandakan semua kotak. Dia ingin menjadi yang terbaik.”

Sejak memeluk Islam, Williams berusaha untuk tidak mengulangi insiden-insiden memalukan yang berkaitan dengan alkohol.

Beliau sekarang ini sedang menjalani latihan bersama kelab Crusaders bagi menghadapi kempen Super Rugby dan tidak dapat dihubungi untuk mengulas dengan lebih lanjut.

Source: Berita Islam Global

Muhammad In The Bible – Ahmed Deedat

hqdefaultVideo ini adalah sedutan Ahmad Deedat membicarakan tentang Nabi Muhammad di dalam bible. Tidak perlu saya terangkan lebih lanjut di sini, anda boleh menonton sendiri video tersebut di bawah ini. Semoga memberi manfaat kepada kita semua dan menambahkan keyakinan dan keimanan kita terhadap Islam. Insya Allah.

Siapakah Ahmed Deedat?
Inilah seorang hamba Allah yang telah berdepan secara langsung dengan para ahli teologi Kristian pada satu ketika dulu ( sehingga awal 90-an). Jimmy Sawggart, Dr. Anees Shoroos, Prof Floyd, dan ramai lagi adalah nama-nama ahli teologi Kristian yg pernah kecut perut bila berdebat dgn beliau dalam mengupas dan membandingkan asas agama Kristian dan Islam.

Berhati-hati, kurma jenama Jordan River dari Israel



MAKLUMAT yang diperolehi dari blog Chegubard, beliau menggesa orang ramai agar jangan membeli kurma jenama Jordan River yang boleh didapati dengan mudah di pasaran negara ini.

Kurma jenama ini dipercayai berasal dari Israel. Dibawa masuk ke beberapa buah negara seperti Afrika Selatan dan Singapura sebelum dibungkus semula dan dibawa masuk ke beberapa negara Islam seperti Malaysia.

Berbuka dengan kurma jenama Jordan River ini ibarat anda berbuka puasa dengan darah dan air mata anak-anak saudara kita di Palestin. Mohon disebarkan kepada rakan-rakan, saudara-mara, adik beradik dan sahabat handai.


source:
http://milosuam.blogspot.com/2011/07/berhati-hati-kurma-jenama-jordan-river.html#ixzz1ThTxoivp


Image

Ramadhan al-Mubarak dan bulan puasa bakal menjelma. Lazimnya pada bulan tersebut, tidak dapat tidak semua umat Islam kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan akan mula menggemari buah khurma dan mengambilnya ketika berbuka, sepanjang malam hingga bersahur.

Tanpa perlu dipertikai, kurma memang banyak khasiatnya. Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.

Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma.

Cuma diharapkan semua pihak berhati-hati memilih kurma untuk dimakan kerana ada kurma di pasaran merupakan kurma Yahudi. Antara yang dapat dikenali ialah bercetak jenama "Jordan River" itu sebenarnya bukan dari Jordan tetapi dihasilkan dari negara Israel dan diimport serta dikotakkan di Singapura tapi di edarkan di Malaysia .

Ia ditanam di satu kawasan luas di bahagian timur Isreal yang bersempadan dengan Palestin. Ia dipunyai oleh seorang Yahudi yang kaya...dan ramai pekerja-pekerjanya berbangsa Yahudi dan hasil penjualan kurma itu digunakan untuk tabung orang-orang Yahudi. Pendedahan ini dibuat oleh akhbar Berita Harian Singapura.

Saturday, July 30, 2011

Kesilapan Kerap Dalam Bulan Ramadhan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Oktober 2006

( Ulang siar pada 11 Sept 07 )

(Ulang siar pada 31 Ogos 2008 )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...