Followers

Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts
Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts

Tuesday, July 3, 2012

Senyumlah: Tuan Ibrahim bongkar rahsia 'air liur'

BEDAH BUKU: Ramai antara kita yang tidak faham mengapa senyum adalah sedekah. Ramai juga yang tidak faham mengapa digalakkan berdoa, berzikir, istighfar dan jangan ditinggalkan sembahyang.

Segalanya ini dibongkar jelas oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam buku sulungnya ‘Senyumlah’ yang dilancarkan dengan jayanya 1 Julai 2012 lepas.

Segala ciptaan Allah adalah sempurna. Begitulah juga dengan sistem badan manusia.

Namun demikian, ramai manusia yang tidak faham bagaimana sistem badannya berfungsi dan apakah kaitan ajaran Islam kepada sistem badan manusia.

Sebenarnya semua berkait, secara jelas tapi terlindung.

Di sebalik buku motivasi yang mudah dibaca dan bersifat santai ini, Ustaz Tuan Ibrahim menyelit keajaiban peranan air liur yang bakal membuka dimensi baru dalam pemahaman agama Islam.

Sedarkah kita, selain bernafas, apakah yang dilakukan manusia setiap minit tanpa sedar?

Iaitu menelan air liur.

Ketika kita melihat benda lazat, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.

Ketika kita membaca, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.

Begitu juga ketika sembahyang, ketika berzikir, beristighfar dan juga mengumpat!

Mudahnya air liur sebenarnya elemen terpenting sistem badan manusia yang menjaga tubuh badan – segalanya bermula daripada mulut – dan elemen menjaganya adalah air liur.

Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, air liur terbahagi kepada dua, air liur baik dan air liur beracun.

Yang baik, semakin banyak ditelan, semakin hati terasa tenang dan semakin susah minda bermain ilusi di depan mata.

Yang beracun, semakin banyak ditelan, semakin banyak dendam kesumat, semakin banyak keresahan dan minda diselubungi ilusi-ilusi yang negatif sehingga emosi terganggu.

Daripada teori air liur yang dikemukakan Ustaz Tuan Ibrahim, jawapan barangkali mengapa Allah mewajibkan dan menyarankan banyak perkara pada umatnya untuk dilaksanakan setiap hari kini sudah terbongkar.

Dan mengapa saranan untuk menjaga makanan, kata-kata dan menghindarkan diri daripada mengumpat juga terbongkar.

Yang ajaibnya, semua ini boleh diterangkan menggunakan teori air liur yang ditulis Ustaz Tuan Ibrahim di dalam bukunya.

Tulis beliau:

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari aleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain.

Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya.”

Selain teori air liur, Ustaz Tuan Ibrahim juga memperincikan bagaimana minda sering diancam permainan bisikan syaitan yang mencetuskan pelbagai imej di depan mata yang mengganggu kehidupan manusia.

Seperti kata di belakang buku, buku Senyumlah tulisan Ustaz Tuan Ibrahim ini telah membuka dimensi baru dalam konteks pemahaman agama Islam.

Sukar dijumpai sebuah tulisan yang menonjolkan tahap pemahaman agama dan kehidupan yang begitu tinggi.

Banyak nasihat di dalamnya tidak ternilai harganya dan perlu dibaca oleh seramai mungkin untuk sama-sama “Senyum” tatkala mengharungi ujian Allah di dunia sementara ini.

Kini Ustaz Tuan Ibrahim telah berkongsi rahsia beliau – diharap semua, terutamanya pemuda-pemudi yang sedang mengharungi kehidupan dapat membacanya sebagai penyuluh lampu kehidupan.

Untuk pembelian buku, sila ke alamat www.facebook.com/ustaztitm  atau email viventure2012@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Harga Buku: RM 17 Semenanjung, RM20 Sabah dan Sarawak.

Thursday, June 17, 2010

Ulasan : Secangkir Teh Pengubat Letih

“Ada yang pergi Turki dapat pahala, ada yang pergi Turki dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, ‘Siapa kamu menentukan cara kamu melihat’. Kesannya pula ialah. ‘Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat”.

Mukadimah yang sungguh menyentuh pemikiran untuk berfikir. Ramai orang yang pergi mengembara dan melancong. Atas sifat apa? Suka-suka, menenangkan fikiran, mencari perempuan, mengkaji sejarah atau kembara iman mencari Tuhan? Setiap orang ada niatnya yang tersendiri untuk mengembara di bumi Allah Subhanahu Wataa’la ini.

Kita sendiri yang menentukannya.

SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH. Sebuah buku yang dikumpul melalui artikel-artikel tentang travelog kembara seorang insan bernama Hasrizal Abdul Jamil di bumi Turki. Semua bahan yang terdapat dalam buku ini telah diterbitkan terlebih dahulu di blogsaifulislam.com. Namun saya lebih gemar untuk membacanya dalam bentuk buku kerana impaknya lebih menonjol. Tambahan pula saya belum pernah membacanya di blog beliau.

TENTANG BUKU INI

Saya tidak mahu untuk mengulas dan berbahas tentang apa yang diceritakan oleh penulis dalam buku ini. Tetapi saya lebih berminat untuk berkongsi serba sedikit tentang isu besar yang diketengahkan dalam buku ini.

Mengenal Turki dari mata hati.

1. TURKI SEKULAR ATAU ISLAMIK?

Selepas kejatuhan kerajaan Islam Turki Othmaniyyah, Turki telah dilihat sebagai blok sekular yang baru. Hampir keseluruhan Islam telah dihapuskan oleh Mustafa Kemal Ataturk dengan dasar sekularnya. Persoalannya, masih adakah Islam di bumi Turki?

Turki adalah negara yang unik.

Negara Dua Benua dan terjadinya pertembungan puak Sekular dan Islam yang dahsyat!

Jika kita ke Turki sebagai pelancong, mungkin kita akan melihat Turki yang sekular terutamanya di Istanbul. Deretan pusat tarian gelek dan gerai majalah lucah menjadi ‘penyeri’ di sana. Itu Turki yang sekular. Mana Turki yang Islam?

Catatan penulis menceritakan Islam sangat subur di Draman, Fatih, Eyup dan banyak lagi pekan-pekan kecil yang dihuni oleh penduduk yang komited dengan peraturan Islam. Tempat-tempat ini seolah-olah tidak pernah mendengar tentang Ataturk dan Ismet Inonu. Jutaan para Huffaz telah dilahirkan bagi memartabatkan Islam di sana.

Turki. Negara Dua ‘Alam’.

2. TEH PENGUBAT LETIH

Ustaz Hasrizal menulis tentang perihal teh di Turki. Orang Turki hantu teh. Dimana-mana sahaja pasti ada teh. Teh di Malaysia dan teh di Turki sangat berbeza. Teh di Malaysia jika terlalu banyak diminum akan mengundang masalah perut yang memulas. Tetapi tidak di Turki. Saya amat tertarik dengan perihal teh di Turki ini.

Teh di Turki [sumber : saifulislam.com]

Teh di Turki direbus sehingga masak. Tidak di Malaysia yang kita hanya celup sahaja uncang teh di dalam air panas untuk menyediakannya. Apabila teh ini direbus sehingga masak, maka air teh tersebut akan menjadi teh pekat tanpa gula. Kita sendiri yang akan menentukan sama ada mahu teh yang pekat atau cair, manis atau tidak. Menarik bukan? Maka anak dara di dapur tidak lah terlalu risau jika terbuat teh yang terlalu cair dan tawar!

“Minum teh dekat Turki tak tambah gula. Masukkan gula kiub dalam mulut, pastu baru minum dengan teh. Itu gaya orang Turki”, Bapa saya menceritakan pengalamannya melancong ke Istanbul beberapa tahun yang lepas.

Meminum teh sambil mengulum gula kiub di dalam mulut sangat unik. Kemanisan tehnya sekata sahaja, tidak terlalu manis atau terlalu tawar. Rasa manis yang sebenar. Ini yang menarik minat saya hendak ke Turki ni. Hai..

3. WARTA BERITA SANGAT POPULAR

Bayangkan anda sedang berborak dengan seorang rakan. Perbualan itu sedang hangat dan rancak. Tiba-tiba boleh terputus hanya kerana warta berita di Televisyen? Itulah perangai orang Turki. Mereka sangat mengambil berat tentang isu semasa sehinggakan siaran berita adalah yang paling popular di sana. Di Malaysia mungkin Akademi Fantasia dan Mentor barangkali.

Sifat mereka yang sangat mengambil berat tentang isu semasa patut kita contohi. Tidaklah hanya berada di bawah ‘tempurung kelapa’ yang hanya mengundang perangai ‘AKU TIDAK PEDULISME’ bak kata Ustaz Hasrizal.

4. TIADA KULIAH MAGHRIB!!

Di Turki tiada budaya Kuliah Subuh dan Maghrib seperti di Malaysia. Bagaimana mereka menuntut ilmu jika tiada kuliah ilmu di Masjid? Mereka mempunyai budaya mengambil tahu hal semasa dan budaya membaca yang tinggi. Oleh sebab itu mereka kurang mengamalkan budaya kuliah agama di masjid-masjid mereka.

Tiada ustaz atau ustazah yang popular di sana seperti di Malaysia. Mereka lebih meminati penulisan berbentuk pandangan yang boleh dibaca di dada akhbar mereka. Bagi mereka itu adalah sumber ilmu dan kadang-kadang ceramah agama ini lebih membawa kecelaruan dalam pemikiran mereka.

5. SUASANA POLITIK YANG GENTING

Selepas kejatuhan kerajaan Islam di Turki, suasana politik di Turki semakin mencabar. Pertembungan antara puak sekular dan puak Islam sentiasa berlaku. Namun sekarang politik Islam kembali menyinar di sana, tetapi terlalu hebat ditentang oleh puak sekular terutamanya daripada tentera Turki.

Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Necmettin Erbakan (kanan)

Nama seperti Necmettin Erbakan (Parti Refah) dan Recep Tayyib Erdogan (parti AKP) membawa sinar baru kepada kebangkitan Islam di Turki. Perjuangan mereka mendapat tentangan yang hebat daripada puak Sekular yang kurang senang dengan politik Islam.

Kedua-dua pemimpin ini telah diperangi sehinggakan parti pimpinan mereka diharamkan dan mereka disumbat di dalam penjara. Sekolah Tahfiz ditindas, Fakulti Islam ditutup, pengharaman pemakaian tudung bagi perempuan dan lain-lain lagi. Mungkin kerana itu Turki dilanda gempa bumi yang dahsyat pada 17 Ogos 1999. Wallahua’lam.

SEKITAR BUKU INI

Terlalu banyak input yang boleh dikongsikan dalam buku ini. Isu di atas hanya secebis sahaja dari keseluruhan yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal. Buku ini adalah buah tangannya yang keempat selepas Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin.

[klik gambar untuk imej lebih besar]

Buku ini diterbitkan oleh syarikat Galeri Ilmu Sdn. Bhd yang telah menerbitkan buku-buku sebelum ini. Buku ini juga dapat membawa kita ke bumi Turki dengan pandangan sisi yang lain iaitu bukan dari segi pelancongan semata-mata. Ianya kembara menerusi hati dan bukannya hanya melihat dari mata yang mempersonakan. Tahniah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil!

Jika berminat dengan buku ini bolehlah membelinya di kedai-kedai buku berhampiran anda. Boleh juga dibeli secara online (di sini) dengan harga RM 25.00 sahaja.

NOTA : Saya sedang mula membaca buku karangan beliau yang seterusnya yang berjudul Murabbi Cinta. Seorang Murabbi. Murabbi Cinta.

JIKA LETIH BOLEH MINUM SECANGKIR TEH!!

Blogger Templates

Jamalie_Jam @ jamalrafaie89.blogspot.com
45700 Bukit Rotan, Selangor Darul Ehsan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...