Followers

Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Wednesday, August 1, 2012

Pengaruh Wanita Dalam Kehidupan Lelaki


Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.
 Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.
Al-Quran menyebut:
“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)” –(Surah al-Baqarah: 35-36)
Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). – (Surah Taha: 116-121)
Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”. – (Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat Wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat” – (Surah Yusuf: 28)
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaidsebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).
Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atau godaan atau kaid tersebut.
Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda baginda juga:
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” – (Riwayat Muslim)
Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.
Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.
Perhiasan Terindah
Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” –(Riwayat Muslim)
Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” –(Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani)
Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” –(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.
Sumber: http://myibrah.com/pengaruh-wanita-dalam-kehidupan-lelaki dari http://www.al-nidaa.com.my/

Monday, July 9, 2012

Alkisah rumah tangga di Facebook


“SUAMI saya outstation lah dua hari. Rindunya kat dia nanti…,” antara kata-kata yang sering dipaparkan dalam ruangan mana-mana status di laman sembang yang popular terutamanya laman sosial Facebook (FB). Fenomena menulis ayat-ayat ‘cinta’ di samping memuat turun gambar yang agak keterlaluan untuk dipaparkan kepada umum dilihat kian menjadi-jadi dari semasa ke semasa.
Apakah rahsia rumah tangga sama ada di ambang bahagia atau sebaliknya perlu dijadikan tatapan ramai? Sedangkan apa yang dilalui pasangan itu adalah rahsia yang perlu tersimpan rapi dalam kamus hidup suami isteri. Situasi itu pastinya menimbulkan kesan negatif kelak tidak kiralah pada diri sendiri atau masyarakat sekeliling.
Mengundang keghairahan
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam kuliahnya di sebuah masjid sekitar Shah Alam baru-baru ini berpandangan bahawa, kemungkinan besar insan yang memuat turun gambar di FB mahu berkongsi kasih sayang dan kebahagiaan mereka dengan orang lain.
“Hukumnya haram, menyiarkan gambar senyum sana senyum sini adalah fitnah. Nescaya mengundang dan menaikkan nafsu orang yang melihatnya. Tidak elok bukan, walaupun individu yang bergambar itu mempunyai perhubungan yang sah di sisi Islam.
“Ingatlah lafaz ini – aku terimalah nikahnya dengan mas kahwin tersebut itu maknanya aku terimalah dia menjadi isteri ku halal bagi ku mengikut garis syariat, yang pakai tudung pun apa kurangnya, senyuman dengan pelbagai aksi. Itu semua bagi menarik perhatian ramai dan akhirnya jadilah ia suatu perkara yang tidak elok,” ulasnya dalam ceramah tersebut.
Menurutnya, FB adalah medium yang banyak manfaatnya jika digunakan sebaiknya antaranya mujahidin pembela agama ALLAH SWT di Chechnya mengaplikasikan penggunaan FB untuk menentang pencerobohan tentera Rusia, mereka menggunakan bahasa isyarat dalam FB yang tidak boleh dikemas kini tentera musuh, namun masyarakat kini bertindak sebaliknya.
Itulah yang berlaku apabila dunia berada di akhir zaman. Sementara itu, pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, tidak boleh mengharamkan penggunaan FB kerana ia adalah medium yang mempunyai kebaikan dan keburukan kepada pengguna. FB boleh dianggap sebagai pengikat (silaturahim). Laman sosial itu dilihat bermasalah apabila penggunanya tidak mengemudi FB kepada perkara sepatutnya.
Rahsia rumah tangga
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajatnya kepadanya kemudian dia menyebarkan rahsia itu.” (Riwayat Muslim).
Melihat kepada hadis di atas jelas menunjukkan janganlah beria-ria memuat turun gambar mahupun menaip status yang bukan-bukan di FB yang menjadi ikutan berjuta orang. Cukuplah jika anda dan pasangan tahu apa yang berlaku. Kegembiraan atau kedukaan usah dipertontonkan kepada orang lain kerana pada anda ia adalah perkara baik namun, bagaimana jika individu itu tersalah menilai.
Nabilah mengulas mengenai tindakan sesetengah pasangan yang hangat mempamerkan kisah cinta dan aktiviti mereka di FB dilihat kurang wajar kerana ia mengundang timbulnya perasaan meluat dan gejala negatif.
“Sebagai contoh, si isteri meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan suaminya, lalu dipaparkan di FB. Apabila kenalannya memberi komen yang berunsur mengapi-apikan, pasti pertengkaran akan wujud sekali gus merosakkan hubungan yang tersedia rapuh.
“FB ini bersifat serampang dua mata, digunakan dari aspek kebaikan maka baiklah jadinya jika tidak parah yang menimpa. Sekarang ini kita lihat isteri tak puas hati dengan suami, si suami pula geram dengan isteri, lepas ini ada pula anak melepaskan kemarahan pada ibunya dengan post di FB,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, perkara yang mahu dipaparkan di FB perlu ditapis, jangan semua benda mahu dikongsi, sifat malu itu perlu. Jangan berfikiran semua orang akan senang dengan tindakan yang dilakukan.
Alternatif terbaik
Islam adalah agama yang sangat menjaga umatnya, setiap perkara yang berlaku hendaklah diselesaikan berlandaskan kaedah dan cara berdasarkan hukum dan tuntutan syariat. Nabilah menegaskan, sebagai manusia yangdikurniakan akal fi kiran waras, kita hendaklah tahu menyalurkan kemahuan ke landasan yang betul.
“Usah diikutkan kemarahan atau keghairahan yang tersemat di jiwa, melainkan apabila menghadapi saat-saat getir di mana bantuan daripada pihak tertentu diperlukan. Mungkin mula-mula post gambar atau update status di FB, si polan berkenaan tak rasa apa-apa, tapi sampai satu hari dia sendiri akan rasa malu dengan perkara yang dilakukan, sampai saat itu barulah menyesal,” ulas anak kelahiran Johor ini.
Menurutnya, banyak alternatif yang boleh digunakan untuk menzahirkan kata cinta kepada pasangan.
“Usahlah dihebohkan secara melampau-lampau. Ramai juga suami isteri yang hampir bercerai disebabkan tersilap mengemudi medium sosial itu, pekalah dengan keadaan masyarakat sekeliling bukan semua boleh menerima cara kita kerana setiap manusia itu berbeza.
Sinar

Monday, September 5, 2011

Aku Mahu Ibu Kembali - Kisah menyentuh hati seorang kanak-kanak kental

Di Daerah Zhejiang China, ada seorang anak lelaki yang luar biasa, sebut saja namanya Zhang Da. Perhatiannya yang besar kepada ayahnya, hidupnya yang pantang menyerah dan mahu bekerja keras, serta tindakan dan perkataannya yang menyentuh hati membuat Zhang Da, anak lelaki yang masih berumur 10 tahun ketika memulakan semua itu, pantas disebut anak yang luar biasa.
Sangat jarangnya seorang anak yang berbuat demikian, sehingga ketika Pemerintah China mendengar dan menyiasat apa yang Zhang Da lakukan maka merekapun memutuskan untuk menganugerahi penghargaan Negara yang Tinggi kepadanya.
Zhang Da adalah salah seorang dari sepuluh orang yang dinyatakan telah melakukan perbuatan yang luar biasa dari antara 1,4 milion penduduk China .

Tepatnya 27 Januari 2006 Pemerintah China, di Daerah Jiangxu, bandar Nanjing, serta disiarkan secara Nasional keseluruh pelosok negeri, memberikan penghargaan kepada 10 (sepuluh) orang yang luar biasa, salah seorangnya adalah Zhang Da.
Mengikuti kisahnya di televisyen, membuat saya ingin menuliskan cerita ini untuk melihat semangatnya yang luar biasa. Bagi saya Zhang Da sangat istimewa dan luar biasa kerana ia termasuk 10 orang yang paling luar biasa di antara 1,4 milion manusia.

Pada waktu tahun 2001, Zhang Da ditinggal pergi oleh ibunya yang sudah tidak tahan hidup menderita kerana miskin dan kerana suami yang sakit kuat. Dan sejak hari itu Zhang Da hidup dengan seorang ayah yang tidak boleh bekerja, tidak boleh berjalan, dan sentiasa sakit-sakit.
Keadaan ini memaksa seorang kanak-kanak hingusan yang waktu itu belum cukup umur 10 tahun untuk mengambil tanggungjawab yang sangat berat.
Ia harus pergi ke sekolah, ia haru mencari makan untuk ayahnya dan juga dirinya sendiri, ia juga harus memikirkan ubat-ubat yang yang pasti tidak murah untuk dia.
Dalam keadaan yang seperti inilah kisah luar biasa Zhang Da dimulai. Ia masih terlalu kecil untuk menjalankan tanggung jawab yang susah dan pahit ini. Ia adalah salah seorang dari sekian banyak anak yang harus menerima kenyataan hidup yang pahit di dunia ini.
Tetapi yang membuat Zhang Da berbeza adalah bahawa ia tidak menyerah. Hidup harus terus berjalan, tapi tidak dengan melakukan kejahatan, melainkan memikul tanggungjawab untuk meneruskan kehidupannya dan ayahnya. Demikian ungkapan Zhang Da ketika menghadapi wakil pemerintah yang ingin tahu apa yang dikerjakannya.

Ia mulai lembaran baru dalam hidupnya dengan terus bersekolah. Dari rumah sampai sekolah harus berjalan kaki melintasi hutan kecil. Dalam perjalanan dari dan ke sekolah itulah, Ia mulai makan daun, biji-bijian dan buah-buahan yang ia temui.
Kadang-kadang juga ia menemui sejenis kulat, atau rumput dan ia cuba memakannya. Dari mencuba-cuba makan itu semua, ia tahu mana yang masih boleh diterima oleh lidahnya dan mana yang tidak boleh ia makan.

Apabila waktu pulang sekolah di siang hari dan juga petang hari, ia bersama dengan beberapa tukang batu untuk membelah batu-batu besar dan memperoleh upah dari pekerjaan itu. Hasil kerja sebagai tukang batu ia gunakan untuk membeli beras dan ubat-ubatan untuk ayahnya.

Hidup seperti ini ia jalani selama lima tahun tetapi badannya tetap sihat, segar dan kuat. ZhangDa merawat ayahnya yang sakit.

Sejak umur 10 tahun, ia mulai tanggungjawab untuk merawat ayahnya. Ia menggendong ayahnya ke WC, ia membersihkan dan sekali-sekali memandikan papanya, ia membeli beras dan membuat bubur, dan segala urusan ayahnya, semua dia kerjakan dengan rasa tanggungjawab dan kasih.

Semua pekerjaan ini menjadi tanggungjawabnya sehari-hari
Zhang Da menyuntik sendiri ayahnya. Ubat yang mahal dan jauhnya tempat berubat membuat Zhang Da berfikir untuk menemui cara terbaik untuk mengatasi semua ini. Sejak umur sepuluh tahun ia mulai belajar tentang ubat-ubatan melalui sebuah buku lama yang ia beli.

Yang membuatnya luar biasa adalah ia belajar bagaimana seorang jururawat memberikan injeksi/suntikan kepada pelangannya. Setelah ia rasa ia mampu, ia nekad untuk menyuntik ayahnya sendiri.
Saya sungguh kagum, kalau anak kecil main doktor-doktor dan suntikan itu sudah biasa. Tapi jika anak 10 tahun memberikan suntikan seperti seorang jururawat atau doktor yang sudah biasa memberi injeksi yang saya tahu hanya Zhang Da. Orang boleh katakan apa yang dilakukannya adalah perbuatan nekad, sayapun berpendapat demikian.

Namun jika kita boleh memahami keadaannya maka saya ingin katakan bahawa Zhang Da adalah anak cerdas yang kreatif dan mahu belajar untuk mengatasi kesulitan yang sedang ada dalam hidup dan kehidupannya.

Sekarang pekerjaan menyuntik papanya sudah dilakukannya selama lebih kurang lima tahun, maka Zhang Da sudah berkebolehan dan ahli menyuntik.

Ketika mata pegawai kerajaan, pengusaha, para artis dan orang terkenal yang hadir dalam acara penganugerahan penghargaan tersebut sedang tertuju kepada Zhang Da,
Pengacara (MC) bertanya kepadanya, “Zhang Da, sebut saja kamu mahu apa, sekolah di mana, dan apa yang kamu rindukan untuk terjadi dalam hidupmu, berapa wang yang kamu perlukan sehingga kamu selesai belajar, besar nanti mahu belajar di mana, sebut sahaja. Pokoknya apa yang kamu idam-idamkan sebut sahaja, di sini ada banyak pegawai kerajaan, pengusaha, orang terkenal yang hadir. Semasa ini juga ada ratusan juta orang yang sedang melihat kamu melalui layar televisyen, mereka boleh membantumu!”
Zhang Da pun terdiam dan tidak menjawab apa-apa. MC pun berkata lagi kepadanya, “Sebut sahaja, mereka boleh membantumu” Beberapa minit Zhang Da masih diam, lalu dengan suara bergetar ia pun menjawab, “Aku Mahu Ibu Kembali. Ibu kembalilah ke rumah, aku boleh membantu ayah, aku boleh cari makan sendiri, ibu kembalilah!” demikian Zhang dan berkata dengan suara yang kuat dan penuh harapan.

Saya boleh lihat banyak hadirin menitis air mata kerana terharu, saya pun tidak menyangka akan apa yang keluar dari bibirnya.

Mengapa ia tidak minta kemudahan untuk perubatan ayahnya, mengapa ia tidak minta wang yang cukup untuk meringankan hidupnya dan sedikit bekal untuk masa depannya, mengapa ia tidak minta rumah kecil yang dekat dengan hospital, mengapa ia tidak minta sebuah kad kemudahan dari pemerintah agar ketika ia memerlukan, melihat kata kunci yang dipegangnya semua akan membantunya.
Sungguh saya tidak mengerti, tapi yang saya tahu apa yang dimintanya, itulah yang paling utama bagi dirinya.

Aku Mahu Ibu Kembali, sebuah ungkapan yang mungkin sudah dipendamnya sejak semasa melihat ibunyanya pergi meninggalkan dia dan ayahnya.

Betapa pentingnya erti seorang ibu

Friday, August 12, 2011

4 Cara Mudah Mendidik Anak Kreatif

Apa yang anda tuturkan besar pengaruhnya terhadap kebolehan anak anda untuk berfikir dan bertindak secara kreatif.

Menurut ceritanya, Singapura yang dahulu dikenali sebagai Temasek, pernah diserang segerombolan ikan todak. Raja memerintahkan rakyat jelata untuk membunuh ikan-ikan ini. Bagaimanapun, ikan-ikan ini dengan mudah menumpaskan mereka. Satu demi satu pahlawan Singapura rebah ke bumi akibat tikaman beracun ikan-ikan todak ini.

Ketika itu, muncul seorang budak lelaki bernama Hang Nadim. Dia menyuarakan satu cadangan: Mengapa tidak gunakan batang pisang saja untuk memerangkap ikan-ikan tersebut? Rupa-rupanya, ini idea yang bernas. Pendek cerita, Singapura terselamat hasil idea yang mudah tetapi bijak tersebut.

Cerita Hang Nadim membuktikan apa yang berlaku jika kanak-kanak diberi ruang untuk berfikir secara kreatif. Saya percaya, kebanyakan daripada pereka-pereka dunia pasti ada seorang dewasa, mungkin ayah atau ibu atau guru, yang tidak jemu memberi ruang dan kata perangsang kepada mereka untuk berjaya. Inilah anak-anak yang daya kreativitinya menghasilkan pelbagai benda yang dimanfaatkan oleh insan serata dunia. Daripada telefon mudah alih ke sistem Internet ke kaedah pembedahan laser, kesemuanya membuka jalan untuk kita hidup lebih sempurna.

Berfikir secara kreatif adalah suatu kelebihan yang boleh dipupuk dalam diri anak-anak. Cara-cara mudah termasuk:

1. LAYANI DAYA KREATIVITI ANAK ANDA

Kanak-kanak dilahirkan bersifat kreatif. Lihat sahaja George de Mestral yang mereka cipta Velcro pada awal 1900an. Sewaktu kecil, George amat gemar bermain di luar dan mereka cipta pelbagai benda. Setiap kali berlari-lari di padang, dia amat kurang senang dengan sejenis bunga rumput liar yang melekat di seluarnya. Suatu hari, sekembalinya ke rumah, dia mengambil mikroskop dan meneliti bunga rumput liar itu. Rupa-rupanya bunga rumput itu ada beratus-ratus "hook" atau penyangkut halus yang tersangkut pada seluarnya! Dari sinilah tercetusnya idea untuk mereka cipta Velcro!

2. CERITAKAN KREATIVITI PELBAGAI JENIS

Media sering mengetengahkan beberapa aktiviti tertentu sebagai bercorak kreatif, contohnya melukis, menulis dan berlakun. Oleh itu, anak anda mungkin menyangka dia tidak kreatif jika dia tidak berminat dalam sebarang bidang ini. Sebenarnya, kreativiti merangkumi bidang yang amat luas. Kreativiti yang terbaik ialah kebolehan untuk menyelesaikan masalah dan mengatasi apa jua situasi sukar yang anak anda tempuhi di dunia ini.

3. GALAKKAN ANAK BERFIKIR SECARA TERSENDIRI

Jangan sekali-kali diperli atau diperkecilkan idea yang diutarakan oleh anak anda.Kreativiti membabitkan dua proses : BERFIKIR secara kreatif dan MENGHASILKAN sesuatu yang kreatif, iaitu tidak seperti yang difikirkan oleh orang lain. Kanak-kanak perlukan dorongan untuk terus kreatif. Asalkan anda sanggup menyediakan ruang dan masa untuk dua perkara ini, selagi itulah anak anda merasa didorong dan disokong.

Contohnya:

Jika anda terlihat anak anda menyusun beberapa keping blok secara mendatar berkali-kali, tanya dia : "Mungkinkah ada cara lain untuk menyusun blok-blok ini?"

4. BERSEDIA UNTUK MELABUR

Besar kemungkinan, anak anda perlukan bantuan dari segi masa, ruang dan wang untuk menukar ideanya menjadi suatu realiti. Anggaplah masa, ruang dan wang yang anda belanjakan sebagai suatu pelaburan, bukannya kos yang membazirkan, meskipun hasilnya tidak seperti yang anda atau dia impikan. Tentunya dia belajar sesuatu yang berharga sepanjang usaha tersebut.

Kembali kita ke cerita Hang Nadim. Pemikirannya yang bijak menjadikannya seorang yang disegani di pulau Singapura. Timbul pula rasa iri hati di kalangan sesetengah pihak. Suatu hari, seorang insan yang terlalu cemburu dengan kelebihan Hang Nadim membisikkan kepada Raja bahawa Hang Nadim suatu hari nanti akan menjadi ancaman terhadap pengaruh dan kuasa baginda. Malah, tentu Hang Nadim akan menggulingkan dan merampas kuasa baginda bila dewasa nanti! Akhirnya, Raja memerintahkan Hang Nadim supaya dibuang ke laut. Benar atau tidak kisah ini, Wallahua'lam.

Sebagai ibu bapa, mungkin kita tidak sekejam Raja dalam cerita di atas. Namun, kita mungkin terasa tidak senang bila anak kita menyuarakan sesuatu idea yang berbeza. Kita mungkin merasa tercabar bila tidak mampu menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh anak kita sendiri.

Sebenarnya, anak-anak perlu belajar bahawa ibu bapa tidak mempunyai jawapan bagi kesemua soalan mereka. Oleh itu, untuk memastikan anak anda terus kreatif, jangan persendakan idea-idea yang anak anda berikan, meskipun bunyinya tidak masuk akal bagi anda.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Jamilah Samian adalah Trainer Professional yang ditauliahkan oleh Institut Pengurusan Malaysia. Beliau juga adalah seorang Neuro Linguistic Programming Practitioner (NLP) berdaftar dengan American Board of NLP. Buku-buku beliau termasuk IBU KOOL BAPA HEBAT, ANAK LELAKI KOOL & HEBAT dan THE GROOVY GUIDE TO GEN Y & Z. Layari laman web beliau di http://coolmumsuperdad.com dan http://www.myriadventures.biz.


PLEASE READ - Abang, Tunggu Mak Di Syurga Ya..


**dapat daripada email, sharing is caring ... ;)


Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.

Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?

Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana. Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.

Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang.

Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.

Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.

Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.

Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis? Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak,sudah 'reput'. Tak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk abang.


26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!

Hah Hah.. Tergelak mak.Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah,

Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta.

Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.

Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.


7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar. Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang.

Mak bawa abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi.

Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi.

Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan abang? Mak jawab: "InsyaAllah, abang akan sihat!"

Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tak mahumereka semua lemah semangat jika mereka tahu abang sudah tiada harapan lagi.

Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.


13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan abang.

Di rumah, setiap hari mak akan tanya: "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab: "Mak, abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana? Mak jawab: "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.

Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu: "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!"

Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus diacapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu.

Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: "Abang nak apa?"

Abang jawab: "Abang nak naik lori sampah!"

Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?"

Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.

Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup lihat abang lama-lama. Sedih agaknya.

Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung abang.

Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak peri,semuanya mak tunaikan!

Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang teringin nak makan. Martabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikanwalaupun makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!

Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.

Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah, apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaringsambil memeluk Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!"

Itu kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.


5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!"

Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari ini. Kemudian, Dr. Adura. , doktor yang sinonim merawat abang datang melawat.

Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak ceritakan yang mak terkilantak dapat tunaikan permintaan abang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini.

Rupa-rupanya, tengah hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini.

Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sanka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.

Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang tampak letih dan nafas abang turun naik.



8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang sekadar terbaringmerenung kek itu.

Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.

Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada abang: "Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu abang nak pergi.

"Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam hidup mak walaupun seketika!"

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia


Abang pada tahun 2007.


9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang dah tak mampu bercakap lagi sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu. Pakul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai.

Mak suruh kak long bacakan Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak taj sinar matahari tu? Cantikkan?"

Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu.

Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak.



Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.

"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja."

Mak tahu, masa abang sudah hampir tiba!

Sampai di wad, mak baringkan abang atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: "Makkk..sakit perut..!"

Dan abang terus memanggil: "Makkkkk!". Suara abang perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah abang. Mak izinkan abang pergi!"

Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalammata abang yang semakin kuyu. Saat abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan kamu!"

Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya.

Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..!" Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah... Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: "Tenanglah abang di sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak menangis?

Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti.

Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.

Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.

Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.

Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.

Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar.

Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidka lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...