Followers

Tuesday, May 29, 2012

Sunat latih kanak-kanak puasa


RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.
Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)
Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Maksudnya kanak-kanak tidaklah berdosa jika mereka meninggalkan puasa Ramadan.
Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: “Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.”
Kenyataan ini bersesuaian dengan amalan dalam kalangan anak-anak pada zaman Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan sunat bagi ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka berpuasa dengan tujuan melatih mereka sekiranya mereka mampu. Malah sunnahnya amalan ini disokong oleh ulama salaf seperti Imam Syafie, Ibnu Sirin dan az-Zuhri.
Imam Nawawi memperincikan hadis di atas dengan berkata: “Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan secara berperingkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat. Selagi ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya, malah menambahnya, dan selagi ada kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya.” (Syarh Sahih Muslim 6/170)
Malah Imam Bukhari membawakan kepada kita satu athar bahawa amalan berpuasa dalam kalangan kanak-kanak sudah lama dilakukan, malah ia menjadi tradisi pada zaman sahabat. Kisahnya suatu hari Umar al-Khattab telah dihampiri oleh seorang lelaki yang mabuk di bulan Ramadan. Lalu dia berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan. (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)
Ada sebahagian ibu bapa yang menawarkan upah atau hadiah bagi anak-anak mereka yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan. Amalan memberi upah ini bukanlah suatu yang melanggari syarak. Malah ia sesuai kepada mereka yang masih kanak-kanak.

Monday, May 28, 2012

Hukum Minum berdiri dan Keajaiban Air Zam-Zam

Hukum Minum Berdiri
Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapat kesejahteraan. Begitu juga islam telah menetapkan adab-adab ketika minum.
Permasalahan berkaitan minum berdiri ini telah menyebabkan ulama berbeza pendapat mengenai hukum minum berdiri itu. Hadis yang menunjukkan tegahan minum berdiri ialah hadis yang diriwayat oleh muslim iaitu:
Terjemahan: dari anas, sesungguhnya nabi Muhammad saw melarang minum berdiri.

Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab tegahan minum berdiri, hadis yang ke 3771. Hadis ini menjelaskan larangan yang berbentuk tegahan minum secara berdiri. Namun ulama telah berselisih pendapat mengenai larangan minum berdiri ini. Ibn qym berpendapat hukum minum berdiri ini adalah haram dan hanya dibenarkan sekiranya terdapat halangan yang menghalangnya minum secara duduk

Namun beberapa fuqaha seperti imam malik berpendapat laranagn ini telah dimansukhkan dengan hadis Ibn Abbas iaitu:
Terjemahan: dari Ibn Abbas berkata, aku memberi air zam-zam kepada Rasulullah saw, lalu baginda meminumnya sambil berdiri( riwayat muslim).

Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab minum air zam-zam berdiri, hadis ke 3776. Hadis ini menunjukkan rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri. Imam malik telah memansukhkan hadis yang pertama tadi dengan hadis ini yang menunjukkan minum berdiri bukan haram. Perkataan nabi melarang minum berdiri itu, menurut zahirnya larangan minum sambil berdiri itu. Tetapi hadis ibnu abbas menunjukkan bolehnya minum berdiri. Al-Mazuri berkata, orang-orang yang berselisih pendapat dalam masalah ini ialah jumhur yang berpendapat boleh minum berdiri dan pendapat yang lain berpendapat makruh.

Hadis dari anas merupakan hadis sunnah qauliyah manakala hadis dari Ibn Abbas merupakan hadis sunnah fi’liyyah. Apabila kedua-dua hadis ini bertembung, maka yang menjadi dasar hukum ialah hadis sunnah qauliyah, manakala hadis sunnah fi’liyyah berperanan menafsirkan maksud sebenar yang terkandung dalam hadis sunnah qauliyah tersebut. Ini bererti tegahan pada hadis anas tadi bukan membawa maksud haram, tetapi makruh.

Nawawi berkata yang sebenarnya, larangan yang di maksudkan itu adalah untuk kebersihan dan perbuatan nabi minum berdiri itu menjelaskan bolehnya minum berdiri dan tidak haram.
Berdasarkan pada hadis yang menegah minum berdiri itu, dapat di lihat mengapa rasulullah saw menegah kita minum berdiri. Di antara sebab di larang minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani “Sesungguhnya makan dan minum duduk lebih baik dr segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas; dimana makanan dan minuman lalu di dinding perut dgn tenang. Adapun minum berdiri menyebab cecair akan jatuh ke dasar perut dgn keras dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini selalu berlaku dan lama masa berlalu akan menyebabkan perut akan longgar dan jatuh sehingga menyebabkan susah nak hadam. Begitu juga dgn makanan.

Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang (strain) dan pada masa yang sama sisitem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak. Ia adalah proses gabungan diantara sistem saraf dan sistem otot dlm satu masa yg menyebabkan manusia tidak mampu mendapat kerehatan anggota. Kerehatan otot adalah syarat yg terpenting ketika makan dan minum dan wujud ketika mana duduk. Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dlm keadaan tenang dan sensation (rasa) akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambahnya kemampuan (ability) untuk menerima makanan dan minuman dan akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul. Namun demikian diharuskan berdiri ditempat yg tak sesuai duduk sprti tempat yg terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri,ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan rasulullah minum air zam-zam berdiri.

Persoalannya di sini, mengapa rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri. Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, dari segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati. Jadi inilah sebab rasulullah minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut cepat dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut.

Keajaiban Air Zam-Zam

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain, inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anbodi kepada orang yang meminumnya. Di sini saya tunjukkan perbandingan unsur-unsur yang terdapat di dalam air zam-zam dengan air mineral:

PERBANDINGAN UNSUR KIMIA:
Antara air ZAM ZAM ( Mg/l ) ,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,,dan air MINERAL
* Klorida (cl) 159,75 ,………………………………………………..Mineral : 30
* Sulfat (SO24) 140 ,………………………………………………..Mineral : 27
* Nitrat (NO3) – ,…………………………………………………….Mineral : 15
* Nitrit (NO2) 0,045 ,………………………………………………..Mineral : -
* Bikarbonat (HCO3) 398,22,…………………………………………Mineral : 32
* Flour (F) – ,………………………………………………………..Mineral : 0,7
* Besi (Fe) tak terdeteksi …………………………………………..Mineral : 0
* Mangan (Mn) 0,014…………………………………………………Mineral : -
* Natrium (Na) 318,0 ,……………………………………………….Mineral : 20
* Kalium (Ca) 182,2 …………………………………………………Mineral : 3
* Zat Padat Terlarut (TDS) 858 ,…………………………………….Mineral : 170
* Magnesium (Mg) 6,86………………………………………………Mineral : 5
* Zat Organik 2,79-………………………………………………….Mineral : -
* Jumlah Mikro Organisme (TPK) 38 kolom/ml -…………………….Mineral : -
* PH 7,3……………………………………………………………..Mineral : 7,2

Jadual di atas kita dapat lihat perbezaan yang sangat ketara di antara unsur-unsur yang terdapat dalam air zam-zam dengan unsur yang terdapat dalam air mineral, air zam-zam mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan tidak dapat di tandingi oleh mana-mana air.

Ustaz kemudian bercerita bahawa dia telah berkesempatan menghadiri satu seminar mengenai AIR yang berlangsung di Hotel Istana baru-baru ini yang mana kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada orang bukan Islam kecuali 2 orang (Ustaz Abdullah dan seorang Pensyarah dari Universiti Malaya).

Penceramahnya seorang Profesor yang pakar tentang air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air, beberapa “slide” ditunjukkan dan dipancarkan dilayar putih kepada hadirin sekelian. Sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, perigi dan bermacam lagi).

Maka terpancarlah berbagai-bagai rupa bentuk susunan molekul-molekul air tersebut. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya) rupa yang menggerunkan dan menakutkan. Lalu Profesor itu berkata “banyak lagi sampel-sampel air yang lain tetapi rupa molekul-molekulnya hampir sama, sekarang saya nak tunjukkan sampel air yang berlainan dari sampel-sampel air yang saya tunjukkan tadi”
Profesor itu pun tunjukkan, maka terpancarkan satu rupa bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi) ,bersinar- sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna.

MasyaAllah, cantiknya. Lalu profesor bertanya “Siapakah di antara kamu semua yang tahu sampel air apakah ini”. Hadirin semua senyap, dan kemudian, Pensyarah dari UM mengangkat tangan dan menjawab “saya rasa itu adalah sampel air zam-zam”. Profesor berkenaan memanggil Pensyarah tersebut naik ke atas dan bertanya “Berikan saya sebab kenapa awak berkata air itu adalah air zam-zam.

“Kerana air zam-zam adalah air yang termulia didunia ini” Jawab Pensyarah. Profesor berkata ”Saya tak tahu samada betul atau tidak air zam-zam itu mulia tetapi memang betul ini adalah sampel air zam-zam.”

Kemudian Professor mengatakan bahawa, kata-kata juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Lalu didalam dewan itu mereka membuat “experiment” bagaimanakah yang dikatakan kata-kata dapat menpengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Semua hadirin dikehendaki membaca sesuatu kepada air mineral masing-masing. Lalu seorang ”volunteer” bangun untuk menguji bagaimana rupa air yang telah dibaca. Bila ditunjukkan diskrin, nampak molekul air membentuk seolah-olah seperti tokong cina (dengan janggut yg panjang dan perut yang buncit).
Bila tiba giliran Ustaz, air yang dibaca dengan Al-Fatihah, Selawat dan Ayat Kursi maka nampaklah rupa molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau. Lalu Ustaz disuruh oleh Profesor membaca sebarang ayat/kata-kata yang tidak baik…maka nampaklah diskrin molekul air berupa seperti sel-sel barah.Subhanallah. …. daripada ceramah yang Ustaz sampaikan ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya. Ini adalah kata-kata dari Ustaz Abdullah :
Jika hendak air itu merasa manis maka masukkanlah gula, jika hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya

Ahli sains Jepun mengakui setitik air zam-zam memiliki khasiat lebih dari seribu titik dari air biasa.Walaupun telah diolah dengan pelbagai cara dan dengan peralatan yang canggih tetapi tetap tidak dapat menandingi khasiat yang terdapat pada air zam-zam. Air zam-zam adalah berkhasiat, berkat, bersih dan Penawar paling mujarab anugerah Allah S.W.T


Telaga Zamzam ialah telaga biasa yang terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah, hampir dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam. Telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di Mekah satu ketika dahulu. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zamzam ini untuk air wuduk dan perubatan.



Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter. Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari para 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.



Selain itu diantara kelebihan air zam-zam ialah apabila peminumnya berniat menjadikannya sebagai penawar nescaya allah akan menyembuhkannya atau dengan niat untuk mendapatkan pertolongan nescaya allah akan menolong. Oleh sebab inilah rasulullah telah mengajarkan beberapa kaedah dan doa apabila hendak minum air zam-zam ini supaya mendapat keberkatan dari allah.

Air zam-zam juga mempunyai kelebihan dimana mata airnya tidak pernah kering, walaupun berjuta-juta umat manusia meminumnya setiap hari terutamanya pada musim haji, bahkan pada masa kini dengan peralatan canggih orang yang berada di masjid nabawi yang jaraknya 450km dari mekah dapat meminum air zam-zam setiap saat dan ianya tidak pernah berkurang apatah lagi kering. Ini menunjukkan keistimewaan yang terdapat pada air zam-zam.

Di bawah ini (kanan) saya tunjukkan bukti hasil kajian Dr Emoto. Ini merupakan molekul yang di hasilkan oleh air zam-zam.

Cuba teliti gambar ini,jelas menunjukkan molekul air zam-zam ini berkilau sperti Kristal dan sangat menarik. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan yang terdapat pada air zam-zam ini. Molekul ini sangat menarik dan bercahaya.

Selain itu menurut Dr Emoto bahawa, kata-kata atau ucapan juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Molekul air berubah mengikut apa yang diucapkan oleh manusia. Profesor Jepun ini telah mengkaji struktur air yang diucapkan dengan beberapa perkataan seperti ‘arigato-khozaimas’, ‘Thank You’, ‘I am sorry’, ‘Go to the hell!’, lirik lagu Linkin Park, dan beberapa lagi termasuk alunan surah Yaasin. Selepas air didedahkan dengan perkataan yang dipilih, strukturnya dianalisa menggunakan mikroskop. Hasilnya air yang dianalisis menunjukkan struktur yang amat menarik. Perkataan yang sopan menghasilkan struktur air yang cantik, sejuk mata memandang dan lebih teratur. Sebaliknya imej air yang kotor dan menjijikkan terhasil apabila terdedah kepada perkataan biadab. Di sini saya akan menunjukkan beberapa hasil gambar molekul yang telah di kaji.
Ini diantara bukti kajian yang dilakukan oleh Dr Emoto:

Gambar diatas kita dapat melihat perbezaan yang ketara kedua-dua molekul air tersebut, air yang diucapkan dengan perkataan yang baik menghasilkan struktur yang cantik dan menarik tetapi sebaliknya berlaku kepada air yang diucapkan dengan perkataan biadap.

Bebarapa contoh air mineral , air paip dan air yang telah di tapis di uji dengan alat water Electrolysis tester bagi menguji tahap kebersihannya.


Setelah di uji, di dapati air-air tersebut masih terdapat kekotoron yang tidak nampak (sebelum di uji).

Tetapi setelah di uji beginilah hasilnya.Hatta, air yang sudah di tapis dengan penapis berjenama pun tidak berkesan.( masih terdapat kekotoran )
Apabila di uji kepada air zam-zam ini, subahanallah, tidak sampai 5 saat,water Electrolysis tester meletup dan fiusnya terbakar.
Ini menunjukkan air zam-zam tidak lagi dapat di pertikaikan kesuciannya.
Jadi inilah hikmah kita di tuntut membaca bismillah dan doa ketika hendak makan atau minum, supaya kita mendapat keberkatan dari allah. Molekul-molekul air ini akan mempengaruhi apa yang kita ucapkan.

Jadi kesimpulan yang dapat dibuat disini ialah hendaklah kita duduk kita hendak makan atau minum kerana ia membawa lebih banyak kebaikkan kepada manusia. Tetapi minum berdiri bukanlah membawa maksud haram Cuma makruh mengikut beberapa pendapat dan mengikut jumhur ianya di bolehkan. Selain itu,kita hendaklah membaca bismillah dan doa semasa hendak makan atau minum supaya mendapat keberkatan dari Allah.

Dapat juga di simpulkan di sini bahawa air zam-zam itu mempunyai banyak keberkatan dan kelebihan padanya, dan ianya merupakan air yang paling mulia, padanya mempunyai banyak khasiat dan keberkatan dari allah. Jadilah kita haruslah mengikut apa yang telah di anjurkan oleh Rasulullah ketika hendak minum air zam-zam supaya kita memperoleh barakah daripadanya.

Kredit :  http://darululumonline.wordpress.com/2011/03/14/hukum-minum-berdiri-dan-keajaiban-air-zam-zam/

Wednesday, May 23, 2012

Subhanallah! Tasik lima kilometer hilang kurang 24 jam





DUA gambar menunjukkan Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, Chile. Gambar bawah dirakam pada 2 April lalu.
SANTIAGO, Chile – Dalam tempoh kurang 24 jam Tasik Cachet II di Dataran Tinggi Patagonia, selatan Chile ‘ghaib’ dengan hanya meninggalkan beberapa lopak besar dan kawasan dasar yang luas.
Air tasik berkenaan berasal daripada ais cair dari Glasier Colonia yang terletak di padang ais Patagonia Utara, sekitar 2,000 kilometer ke selatan ibu kota Chile, di sini.
Glasier berkenaan bertindak sebagai empangan yang menakung air tasik tersebut tetapi peningkatan suhu menyebabkan dinding glasier itu pecah sebanyak dua kali iaitu pada 27 Januari dan 31 Mac lalu.
Menjelang 2 April lalu, tasik seluas lima kilometer persegi bertukar kontang.
Sejumlah 200 juta liter padu air Tasik Cachet II mengalir ke dalam sungai berhampiran, Sungai Baker.
“Apabila kami bangun, kami terkejut melihat lembah di bawah kami dibanjiri air dan ketulan ais,” kata seorang pembantu penyelidik, Daniela Carrion.
Saintis berkenaan melakukan kajian di kawasan sekitar tasik Cachet II bersama sekumpulan penyelidik apabila tasik tersebut kering. – AFP

Subhanallah! Bunga Mekar Semasa Azan Dilaungkan


SubhanAllah, laungan Azan yang mengalun merdu ternyata mampu membangunkan bunga-bunga yang tertidur. Bunga yang layu sebelumnya secara tiba-tiba mekar apabila azan dilaungkan daripada masjid yang berdekatan. Stesen televisyen CNN pernah menayangkan sebuah dokumentari yang menunjukkan keajaiban laungan azan.
Bunga-bunga yang pada awalnya kuncup berubah menjadi mekar ketika azan berkumandang. Fenomena mengagumkan ini terjadi di Azerbaijan ini (juga terdapat di Turki) telah mendapat perhatian dari media Barat. Lihat keajaiban bunga azan di dalam video di bawah ini.




Azerbaijan

Turki
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahwa Al-Quran itu adalah benar. Tiadakah cukup bahwa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” [QS. Al- Fushshilat]

BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG



Buat para ibu, isteri, kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan anak-anak perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga. Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya. Nauzubillah! Moga Allah melindungi kita semua.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat Muslim no. 3971) Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadis ini iaitu: “…Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’, no. 1421)
Perbincangan kita kali ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadis di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk badannya.
Di dalam kitab al-Muntaqa (Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8 tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan terserlah dengan pakaian ketat.
Wahai kaum Hawa, peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w. tersangat sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya.
Baginda juga menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan menarik perhatian para pelanggan.
Syeikh Abdul Majid al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini adalah isim fa’il dengan makna seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.
Kesan Negatif
1. Menyusahkan para isteri
Golongan wanita yang berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih besar.
2. Gangguan seksual terhadap golongan lelaki
Ini adalah satu bentuk gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadis tersebut menyatakan: ”Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat bahana golongan wanita tersebut.
3. Mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya
Senario hari ini memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang menjadikan anak sebagai mangsa.
4. Tidak menghidu bau syurga
Golongan berpakaian tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.
Sukar untuk Berubah
Ramai wanita yang menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.
Dalam situasi ini, ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan sahabat. Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena pada badannya.
Carilah sahabat yang menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.
Artikel oleh Ustaz Syed Nurhisham – Solusi Isu #21

GAMBARAN KEHIDUPAN ORANG YANG BERIMAN


SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam”.
Riwayat Ahmad dan Muslim
Huraian Hadith & Pengajaran Hadith:
  1. Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit.
  2. Makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya.
  3. Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

10 Golongan Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab

Terdapat 70,000 umat Muhammad s.a.w yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan tiada azab. Ini bersumberkan hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim bersumber daripada Ibnu Abbas r.a. Muka mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka adalah:

1. Ahl al-fadl (ahli kemuliaan)- orang yang menanggung kesakitan apabila diperbo-dohkan, bersabar apabila dizalimi dan memaafkan apabila dilakukan kejahatan terhadap mereka.

2. Ahli as sabr (ahli kesabaran)- bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menghindarkan maksiat terhadap-Nya.

3. Jiran-jiran Allah- saling berziarah dalam berkasih-sayang kerana Allah, duduk dan bangun bersama-sama saudara mereka kerana Allah.
(hadis riwayat Abu Nu’aim daripada Ali bin Husain)

4. Orang yang mati dalam perjalanan ke Mekah samada pergi atau balik
(hadis riwayat Jabir)

5. penuntut ilmu, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa
(hadis marfu’ sumber Abu Ayyaub al-ansari)

6. Sesiapa yang berjalan kerana hendak menunaikan hajat saudaranya yang muslim sehingga tertunai hajat itu dan meniggal dalam masa tersebut.
(hadis marfu’ sumber daripada Anas)

7. Sesiapa yang mengasuh kanak-kanak sehingga berupaya mengucapkan ‘lailahaillallah”
(hadis sumber daripada A’isyah r.a)

8. Orang islam lelaki dan perempuan yang mati pada malam dan siang hari Jumaat
(hadis marfu’ sumber daripada ‘Ata’)

9. Hamba yang bersabar apabila diuji dengan bala bencana pada tubuhnya dan anaknya
(hadis marfu’ riwayat Hakim at-Tirmidzi)

10. Orang yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah
(Ibn Mas’ud)

Al-Hakim dan al-Baihaqi mengeluarkan hadis yang bersumber daripada Jabir secara marfu’: “Barangsiapa yang lebih kebajikannya atas kejahatannya, maka mereka itulah yang masuk ke syurga tanpa hisab, dan barang siapa yang sama kebajikannya dan kejahatannya maka mereka itulah yang dihisabkan dengan hisab yang sedikit, dan barang siapa yang kejahatannya lebih banyak, maka dialah yang diberikan syafaat setelah menerima siksaannya.”

NOTE:Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan dibentangkan suratan amal. Tajdidkan niat. Ikhlaskan diri. Biar tidak dipuji manusia. Pentingnya adalah nilaian pandangan Allah taala.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...