Followers

Wednesday, May 30, 2012

CCTV PALING CANGGIH TAPI PERCUMA

Ustaz Mohammad Zaini Yahaya

CCTV adalah singkatan daripada closed circuit television iaitu sistem televisyen litar tertutup. Ia adalah satu sistem untuk menjaga keamanan. Sebenarnya CCTV tidak dapat mencegah salah laku dan jenayah secara terus dengan diri sendirinya. Kaitannya dengan penjagaan keamanan hanya boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya:
1. Untuk membantu penyiasatan jika berlaku jenayah.
2. Untuk dijadikan bukti.
3. Untuk menimbulkan rasa gerun kepada pesalah.
Keberkesanan CCTV dalam mencapai matlamat pertama dan kedua tidaklah mudah sebagaimana yang dijangkakan. Pesalah atau penjenayah boleh mengelak daripada dikenali hanya dengan memakai topeng atau topi keledar. Hal ini menyebabkan penyiasatan menggunakan CCTV sering kali menghadapi jalan buntu. Mungkin dalam kes lalu lintas, CCTV banyak membantu kerana kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang mudah dikesan. Namun pemantauan selama 24 jam tidak mampu dilakukan oleh manusia kecualilah setiap CCTV itu dipantau oleh dua orang manusia secara bergilir-gilir. Hal ini kebiasannya tidak berlaku kerana melibatkan pembaziran kos yang ketara. Kebiasaannya beberapa CCTV itu dipantau sekaligus oleh beberapa orang manusia. Paparan yang dilihat oleh pemantau juga dilakukan secara rotation antara CCTV-CCTV yang disambungkannya. Oleh itu kemungkinan pesalah akan terlepas daripada kawalan manusia amatlah tinggi. Kecualilah jika berlaku kes-kes jenayah yang mendesak supaya rakaman CCTV dimainkan semula. Jika begitu keadaannya, banyak kes-kes kecil yang diabaikan. Justeru bolehlah dikatakan walaupun CCTV beroperasi 24 jam, sebenarnya pemantauannya tidaklah sampai 24 jam.
Untuk mencapai matlamat yang ketiga iaitu menimbulkan rasa gerun kepada pesalah juga terlalu sukar, kecuali dalam kes-kes lalu lintas sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Kebiasaan pesalah terlepas dan sukar dikesan identitinya menyebabkan ia tidak digeruni melainkan oleh orang awam yang bukan penjenayah.
Itulah kelebihan dan kekurangan CCTV. Belum lagi dilihat kepada kos yang perlu dikeluarkan untuk membeli dan menyelenggarakannya serta tahap ketahanannya.
Sedarkah kita bahawa di sana ada satu sistem yang menyerupai CCTV tetapi berjuta kali lebih canggih daripadanya. Tiada manusia yang akan terlepas daripada rakaman dan pengesanan kesalahan. Malah ia digunakan bukan sekadar untuk mencari kesalahan manusia malah juga digunakan untuk mencari kebaikan. Sistem yang amat ampuh ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim menerusi firman-Nya:
Ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada berdekatannya malaikat pengawas yang selalu hadir.
(Surah Qaf: 17-18)
Itulah dua malaikat yang sentiasa mencatatkan amalan manusia siang dan malam tanpa terlelap walau sesaat. Sistem ini dijamin kualitinya oleh Allah SWT. Memadai dengan dua malaikat tersebut menimbulkan rasa gerun di dalam hati manusia jika dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib. Manusia yang beriman yakin dengan tugas dua malaikat ini yang sedang berada berhampiran mereka sekarang ini. Mereka sedar segala catatan amalan tersebut akan diadili secara terperinci di hadapan Allah SWT.
Ingatlah kegerunan yang terdapat dalam hati manusia itu bukan boleh diciptakan oleh manusia. Ciptalah alat secanggih mana dan guballah undang-undang seketat mana pun tetapi selagi ia tidak dapat menimbulkan kegerunan dalam diri manusia pasti alat dan undang-undang tersebut akan gagal.
Lihatlah pada hari ini! Jenayah menjadi-jadi. Mencuri, merompak, merogol dan membunuh tak kira kecil atau besar sehingga bayi yang masih bertali pusat . . . entah apalah kesudahannya masyarakat kita. Pelbagai cara dan pendekatan telah diambil namun tidak kelihatan ia akan berakhir . . .
Hanya dengan kembali kepada hidayah Allah SWT sahaja dapat menyelesaikannya. Kembalilah kepada hukum dan undang-undang Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT lah yang mampu menimbulkan rasa kegerunan dalam hati manusia. Bukankah Allah SWT Maha Bijaksana dalam menentukan hukuman kepada manusia? Firman Allah SWT yang bermaksud:
Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(al-Maidah: 38)
Artikel ini hanya sekadar membuat analogi antara dua sistem yang berbeza. Satu sistem keamanan (security) lahiriah dan satu lagi batiniah. Ia tidak menafikan kepentingan CCTV dn sumbangannya dalam menjamin keselamatan dan keamanan. Namun, analogi ini dibuat untuk menimbulkan kesedaran dalam diri kita betapa canggihnya sistem keamanan Allah SWT dan betapa lemahnya sistem manusia. Justeru, kita mesti tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan hukum-hukum Allah SWT. Apatahlagi hukum-hukum yang didatangkan dengan jelas di dalam al-Quran sebagaimana ayat 38 daripada surah al-Maidah yang lalu.
bhttp://islamamatindah.blogspot.com/2011/09/cctv-paling-canggih-tetapi-percuma.html?spref=fb

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...