-Catitan us Mohamad Sidik
Malam tadi setelah keluar dari masjid seusai selesai solat
Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan kaki seorang diri
pergi ke sebuah kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai
makan yang saya tuju itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir
kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh. Saya memilih untuk duduk
di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang diri yang ketika
itu tiada orang di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya pun
memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut
pergi datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan
bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh
orange' untuk minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri
bertanya kepadanya dengan rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan
kamu kelihatan bukan orang Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu
menjawab dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin
ke rumah seorang kawan.."
"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian
Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan
menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon
pintarnya sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan
kadangkala dia juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon
pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang
dilaknat Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis
itu." jawabnya dengan nada yang tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20
minit pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman
gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan
mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus
tembikai susu yang saya pesan.
"Ok sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.."
jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon
pintarnya.
Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula
menyuap makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa
memakan dengan menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah
SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk
gadis-gadis muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi
orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai
pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin mencuba nasib apabila
gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja untuk
menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya… mereka dijanjikan dengan
hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar
seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan
tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'.. dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar
kamu dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas saya lagi.
"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan
tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda
yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira
500 meter dari tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang
merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di
Gangnam. Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai
kasut tumit tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil
diiringi pihak penganjur pertandingan dengan helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di
istana itu dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan
melalui dua laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan
berhalangan untuk sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti
pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di dalam TV jika kamu pernah
melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir pula, para peserta yang
berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula sesama sendiri. Jika
pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan dianggap sebagai
pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan itu
sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan memakai
kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan
disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari
sebuah ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti
ianya dirakam ataupun tidak."
"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa teruja.
"Satu ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat
palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana
tersebut, palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam
renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan
minuman arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka."
"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba
memanjat palang-palang besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan
kepalanya pecah. Ada yang patah tangan dan kaki. Ada yang pecah
badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan darah dan ada yang mati
lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk berenang keluar dari
kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis yang tidak
berupaya dan mereka sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu
langsung tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan
ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang
pertandingan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya dua orang gadis sahaja
yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis
yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua gadis itu akhirnya
berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi
para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam
istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi
hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka sahaja.
Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh
lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan
mereka akan dibunuh."
Sampai di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air
matanya serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan cuba memujuknya,
"Hey, please don't cry here… people will look to us. Please calm
down. I'm sorry so much to make you telling me this story…" kata saya
kepadanya perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika.
Kemudian saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang
membuatkan kamu menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana
disebabkan saya kamu menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar
cerita kamu. Ia sesuatu yang sangat dahsyat yang belum pernah saya
mendengarnya sebelum ini.."
"Ia ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu
tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi.
Kamu tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika
jatuh di pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya
sendiri... Ibu saya membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila.
Setelah ibu saya membunuh diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan
lalu akhirnya meninggal dunia."
Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam
dan tidak terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam
lalu menyambung kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya
sudah menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea."
"Sejurus selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang
wanita yang memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah
kerana kemalangan dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya.
Wanita itu menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik
saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya tiba ke hospital, kami dikhabarkan
adik saya telahpun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan
mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya...
dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan keseluruhan kisah
ini kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah
sebagai gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia
adalah pilihan adik saya sendiri."
"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam
dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma
dan apabila saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya
dia meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum
mengalami sakit tenat yang membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup
tidak menentu dan mujurlah masih mempunyai seorang sahabat wanita
beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat meneruskan kehidupan
dengan tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada saya bahawa
kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak akan
berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?" saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah
membawa saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk
memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya
tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala ajarannya
dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada. Benar,
Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan
mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup
saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu
tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika
mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz
Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya
tidak pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat
Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah,
saya bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula
sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat
kekeringan jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup
sesat tanpa agama. Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang
benar daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah
mengambil tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau
melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali
kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis,
sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya
secara bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan
melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya.
Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak
berkuasa selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang
membawa adik saya ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya
cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya berali-kali namun dia tidak
dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar tentangnya melalui seorang
peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang detektif polis ialah
dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam lain dan
wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah
diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang
terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula
menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu
adalah kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah
ketika mereka semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis
sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala
mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma
yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka mendapat
bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka
semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada
pihak polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang
menutupi kes ini termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan
wang dan kuasa. Dan sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh
buat pada kita." jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan
hujah.
"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang
berapa umur kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa yang
kamu sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih
itu berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih
tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu
sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun
lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana
ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan
sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji
dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi
menziarahi rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini
lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya berterus-terang dengan nada
jujur.
"Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani
naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana
menceritakan kisah ini kepada saya.. saya amat menghargainya dan
mudah-mudahan suatu hari Allah akan membalas dendam untuk kamu dan
mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..." kata saya lagi kepadanya
sambil mengangguk-angguk.
"Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu
mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!"
tukasnya dengan nada yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara
hidup bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia
pernah berasa tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah
menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua.
Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya
sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang
masih berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah
kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah,
kuat dan berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana
dengan suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya
dengan meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa
yang saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa
Arab di sini dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di
Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam di sana.
Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih ragu-ragu
untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah
memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama
Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya
dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah
bertemu dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu
Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah
tiada kena-mengena dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak
tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah
hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam
10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis
itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya
dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah.
Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka
di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya
pula beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah
menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan
mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana
kebenaran cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di
Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada
Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca
agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri. Kisah tersebut
mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang saya
pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan
menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa
Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan
Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala
hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami
Al-Quran, malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari
ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea
untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani,
tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa
seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya
lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya dan harapan
hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah
menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di
sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada
seorang murabbi mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah
mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang
mereka sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di
dalam hati saya berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat
lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat
sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk memulihkan,
mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk seperti
Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya
di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan
nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak
kita dilahirkan ke alam dunia.
Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak
batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam
poket jubah putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah
ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju..
bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu
Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita. Sudah tentu
banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang
mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah
kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.
Allahu Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa
pada zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di
akhirat...
[Kisah benar ini selesai ditulis semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55 AM]