Followers

There was an error in this gadget

Saturday, September 15, 2012

Google enggan padam video hina Rasulullah


SAN FRANCISCO – Syarikat enjin pencari gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube, kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan negara di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan, Google juga menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.
Menurut jurucakap Google, treler filem berdurasi 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile itu kononnya tidak melanggar polisi dan garis panduan Youtube.
Bagaimanapun, susulan daripada protes ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.
Difahamkan, di bawah prosedur Google, pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.
Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.
Sementara itu, Ketua Pengarah di Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah tersebut.
“Tindakan itu diambil selepas Presiden Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak ke negara ini,” kata Aimal Marjan.
Afghanistan menjadi negara pertama menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di penjara Bagram, utara Kabul. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...