Pada malam itu, mata seluruh umat Islam yang berada di kota suci Mekah terutamanya di sekitar Masjidil Haram, tertumpu pada jam gergasi yang sayup berada di puncak Menara Hotel Jam Diraja Mekah di Kompleks Abraj Al Bait.
Mereka menjadi sebahagian saksi sejarah apabila jam yang berukuran diameter 43 meter itu buat pertama kali secara rasmi mula berdetik tepat tengah malam 1 Ramadan 1431 Hijrah.
“Jam kota suci Mekah mula berdetik dengan titah dari Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud, satu minit selepas pukul 12 tengah malam ini, iaitu hari pertama bermulanya bulan yang suci iaitu bulan Ramadan,” lapor Agensi Berita Saudi, SPA.
Saat jam itu mula berdetik, detik itulah menjadikan jam tersebut dan kedudukannya yang begitu hampir dengan Masjidil Haram, sebagai penjaga masa bagi waktu rasmi dunia Islam. Atau lebih tepat bermulalah apa yang dipanggil sebagai Waktu Standard Arab (AST), iaitu tiga jam terkemudian dari waktu Greenwich Mean Time (GMT).
Sesetengah menyifatkan AST sebagai satu alternatif yang ideal selain GMT.
Apabila puncaknya siap sepenuhnya, yang turut dihiaskan dengan replika bulan sabit sebagai simbol agama Islam, keseluruhan puncak menara jam itu akan berada kedudukan setinggi 600 meter. Ini menjadikan ia struktur bangunan kedua tertinggi di dunia. Iaitu 59 meter lebih tinggi dari Menara 101 tingkat di Taipei Taiwan. Ia bagaimanapun 251 meter lebih rendah dari Burj Khalifa, Dubai setinggi 828 meter - tertinggi di dunia.
Namun fakta yang lebih menarik, Menara Jam Diraja Mekah itu merupakan menara jam yang tertinggi dunia. Ia mengalahkan bangunan menara-menara jam terkenal lain dari seluruh dunia. Seperti Menara Jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara Jam The Big Ben di London, Menara Jam Rajabai di Mumbai India dan Menara Jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
Menara Jam Diraja Mekah merupakan menara tengah yang dibina dalam Kompleks Abraj Al Bait yang mudah dilihat tanpa mengira sudut iaitu sehingga sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang dengan kalimah Allah terpampang jelas pada keempat-empat permukaannya.
Setiap empat muka jam di puncak Menara Jam Diraja Mekah itu tidak sahaja menjadi satu mercu tanda yang hebat kepada dunia Islam itu amnya namun ia bakal mempunyai fungsi yang pelbagai.
Namun yang uniknya setiap kali masuknya waktu-waktu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, akan terpancar dari jam tersebut satu cahaya lampu yang boleh dilihat sehingga sejauh 28 kilometer (dengan tidak melupakan peranan bilal masjid untuk tetap mengalunkan azan).
Ia adalah cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasi muka jam tersebut dengan 21,000 darinya terdiri daripada cahaya yang berwarna hijau dan putih, yang selamanya menjadi lambang warna agama Islam yang suci.
Keindahan jam itu menjadi bualan kerana sebanyak 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan dengan mengambil motif atau corak flora dan fauna.
Selain jam itu sendiri, bangunan Menara Jam Diraja Mekah sangat istimewa kepada umat Islam apabila ia menempatkan dua institusi penting yang pastinya menjadi satu kunjungan wajib oleh umat ke kota suci itu.
Ia ialah Lunar Observation Centre yang selain untuk tujuan pencerapan, ia juga berfungsi untuk melihat anak bulan bagi menetapkan tarikh permulaan Ramadan dan dua perayaan besar, Aidil Fitri dan Aidil Adha.
Sebuah Muzium Islam juga ditempatkan di bangunan menara itu antara lain bagi memelihara warisan khazanah Islam untuk dijadikan tatapan generasi akan datang.
Bolehkan pelawat menaiki Menara ini? Terdapat dua lif yang akan membawa para pelawat sehingga ke sebuah balkoni atau anjung tinjau iaitu dengan kedudukan lima meter ke bawah kedudukan jam.
Tentunya ia satu pengalaman yang sangat menarik apabila berada di balkoni tersebut yang antara lain bangunan Kaabah yang tidak sekadar menjadi kiblat kepada umat Islam sehinggalah kita melepaskan kerinduan dengan mengucapkan salam buat Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang makamnya sayup-sayup pada penglihatan mata. -SITI AINIZA KAMSARI
2 comments:
mohon utk share.. fakta yg sgt menarik dan membanggakan umat muslim.. Alhamdullilah.. teringin nak melawat...
psot yang menarik..
jazakaallahu khairan :)
Post a Comment