Followers

Sunday, August 7, 2011

PANDUAN PUASA – KEUZURAN-KEUZURAN PUASA

Apa maksud keuzuran yang menegah sahnya puasa? Apakah keuzuran-keuzuran yang dimaksudkan itu?

Maksud keuzuran yang menegah sahnya puasa ialah perkara-perkara yang menyebabkan puasa tidak sah atau terbatal, oleh itu bagi orang yang berlaku kepadanya perkara tersebut ia diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, malah jika berpuasa sekalipun puasanya tidak sah dan jika ia sedang berpuasa, puasanya akan terbatal dengan sendiri.

Keuzuran-keuzuran yang dimaksudkan itu ialah;

  1. Kedatangan haid atau nifas; wanita yang sedang haid atau nifas tidak wajib berpuasa kerana puasanya tidak sah. Jika haid datang ketika ia sedang berpuasa, puasanya terbatal dengan sendiri.
  2. Gila; orang gila tidak wajib berpuasa kerana puasanya tidak sah. Sah. Jika sesorang itu tidak gila pada awalnya, namun menjadi gila pada mana-mana waktu di siang hari, batallah puasanya pada hari tersebut.
  3. Pengsan di sepanjang hari penuh; orang yang pengsan sehari penuh (yakni dari mula terbit fajar hingga terbenam matahari) puasa hari itu terbatal sekalipun ia berniat pada malamnya dan pada siangnya ia tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun jika ia tersedar pada mana-mana waktu di siang hari, hilang keuzurannya dan ia wajib menahan diri (yakni berpuasa) pada waktu yang masih tinggal dan puasanya dikira sah.

Orang yang tidak berpuasa Ramadhan kerana keuzuran-keuzuran di atas, ia wajib menggantinya pada bulan yang lain. Dikecualikan orang gila, ia tidak wajib mengganti puasa yang ditinggalnya semasa gila itu kerana ketika itu tidak dianggap mukallaf (kerana salah satu syarat mukallaf ialah berakal).1 Keadaannya sama seperti kanak-kanak yang belum baligh di mana mereka tidak dituntut menggantikan puasa yang mereka tinggalkan semasa sebelum baligh kerana mereka belum mukallaf.

Adakah mabuk membatalkan puasa?

Orang mabuk hukumnya sama seperti orang pengsan di mana jika seseorang berniat puasa lalu ia meminum ubat –sebagai contohnya-, kemudian hilang akalnya (yakni mabuk) pada siangnya dengan sebab ubat itu, maka jika ia tersedar pada mana-mana waktu pada siang tersebut, sahlah puasanya. Jika tidak, batallah puasanya dan wajib atasnya qadha‟. Begitu juga, seorang yang minum arak pada waktu malam, kemudian ia kekal mabuk sepanjang hari, maka batallah puasanya dan wajib atasnya qadha‟. Jika ia sedar pada mana-mana waktu pada siang hari, hukumnya sama seperti orang yang pengsan hanya pada sebahagian hari tadi.

Apakah tidur sama seperti pengsan?

Tidur tidak membatalkan puasa sekalipun seseorang itu tidur sepanjang hari. Oleh itu, tidur tidak sama seperti pengsan. Pengsan sepanjang hari membatalkan puasa, namun tidur sepanjang hari tidaklah membatalkan puasa. Perbezaan antara tidur dan pengsan ini adalah kerana tidur tidak mengeluarkan seseorang dari kelayakannya menerima perintah Syarak, berbeza dengan pengsan di mana ia mengeluarkan seseorang dari kelayakannya menerima perintah Syarak dan kerana itu ia tidak wajib mengqadha solat yang tertinggal selama pengsan itu (sama seperti wanita yang kedatangan haid dan nifas), sedangkan orang yang tidur tetap diwajibkan mengqadha solat yang tertinggal semasa ia tidur.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...