Followers

Thursday, August 4, 2011

" selama 45 tahun aku hidup tak pernah puasa ! "

RAMADAN Al Mubarak telah bermula. Mari kita berkongsi cerita tentang pengalaman puasa bagi figura yang mengaku tidak pernah berpuasa sepanjang usianya sehingga menjangkau usia tua. Dia adalah Malek Noor.

Sebelum ini, umum tahu Malek telah membogelkan kisah hidupnya yang tidak pernah hidup berlandaskan jalan Islam. Tidak solat, memakan makanan haram termasuk daging khinzir dan meminum arak adalah hal bukan tabu bagi dirinya. Begitu juga soal kewajipan berpuasa. Malek tidak berasa penting untuk dia berpuasa sedangkan ia adalah rukun Islam kedua yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.

Namun selepas mendapat hidayah sekitar usia 46 tahun, kehidupan Malek kini berubah secara total. Dia telah lama meninggalkan segala yang haram dan berusaha menjadi umat Islam yang baik dengan menunaikan sebanyak mungkin kewajipan yang disyariatkan, termasuklah berpuasa di bulan Ramadan.

Tahun ini, baru genap 10 tahun Malek Noor berpuasa penuh. Dia tidak malu untuk mengaku hal tersebut walaupun kini usianya sudah menjangkau 55 tahun. Banyak cerita yang dikongsi Malek tentang keterujaannya berpuasa. Bagi figura yang baru pulang mengerjakan umrah pada awal tahun ini, nikmat berpuasa tidak boleh ditukar ganti.

“Alhamdulillah, sejak selepas bertaubat, saya masih belum pernah tertinggal satu hari pun puasa. Malah saya juga melakukan puasa sunat seperti puasa enam dan sebagainya.

“Saya kini berusaha sehabis baik untuk menggantikan semua dosa tidak berpuasa yang pernah saya lakukan dahulu,” ujarnya sambil tersenyum.

Malek memberitahu, sewaktu zaman dia tidak mempedulikan kewajipan berpuasa, dia akan makan pada waktu siang hari seperti biasa.

“Tapi saya masih hormat orang lain yang berpuasa, jadi saya tidak makan di tempat umum. Lagi pula saya pun dikenali orang, saya harus menjaga nama juga pada waktu itu. Jadi saya hanya akan makan di rumah seperti biasa dan tidak mempedulikan tentang ibadat ini,” luahnya jujur.

KASIH seorang bapa yang jelas terserlah antara Malek dan Amelin.

Mengenang semula proses pertama kali dia berpuasa, ujar Malek dia sangat teruja untuk melaksanakan ibadat tersebut. Justeru, ia tidak menjadi masalah buatnya untuk memulakan puasa walaupun tidak pernah berpuasa selama lebih 40 tahun sebelum itu.

Malah kini sepanjang Ramadan, selain menahan lapar dan dahaga, apa yang dititikberatkan oleh anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga adalah amalan-amalan sunat yang dapat meningkatkan pahalanya.

Mengaku jarang bersahur, ujar Malek: “Aktiviti saya di bulan Ramadan banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran, Yassin dan berwirid. Saya berusaha sebaik mungkin bukan sahaja menahan lapar berpuasa, sebaliknya mencuci segala keburukan diri sebersih-bersihnya.”

Bagaimanapun kata Malek, amalan tersebut bukan sekadar dilakukan pada bulan Ramadan, sebaliknya ia juga harus diteruskan pada setiap masa. Ini termasuklah menjaga pertuturan atau bersedekah. Ditanya tentang menunaikan solat tarawih, seperti ‘melompat’ daripada satu masjid ke masjid lain, Malek ternyata mempunyai persepsi sendiri.

Dia memberitahu, dia bukan individu yang mengejar jemaah tarawih. Bukan tidak menyedari ganjaran yang dijanjikan Allah S.W.T, namun kata Malek, dia lebih gembira jika solat wajib lima waktu dilaksana sempurna dan dijaga baik, sebelum melakukan solat sunat.

“Saya akui, ada masa, saya akan ke masjid menunaikan solat tarawih, tetapi bukanlah setiap hari saya ke masjid, kerana kadang-kadang saya memang terlepas ke masjid melakukan tarawih secara berjemaah.

“Jadi saya akan lakukannya secara berseorangan di rumah. Secara peribadi, bagi saya sendiri, saya amat menitikberat soal solat wajib lima waktu. Apa yang penting solat wajib ini tidak tercicir hanya kerana mahu mengejar ganjaran bertarawih,” katanya jujur.

Sementara itu, ditanya tentang juadah berbuka, Malek tidak memilih juadah, cukup sekadar kurma pembuka selera dan sesekali dia mahu merasa nasi beriani, itu sudah memadai baginya. Mengajak Malek berkongsi serba sedikit tentang transformasi dirinya kini, dia tidak mahu khalayak melihatnya sebagai seorang alim ulama, sebaliknya cukup sebagai salah seorang manusia yang pernah melakukan terlalu banyak khilaf dan sudah bertaubat nasuha untuk kembali patuh ke jalan-Nya.

Mengaku menjalani transformasi negatif kepada positif secara berperingkat-peringkat, perkara keji yang dilakukan secara drastik sebaik mendapat hidayah adalah berhenti memakan daging khinzir dan meminum arak. Sementara hal-hal buruk lain seperti pergi ke kelab malam dan sebagainya dilakukan secara berperingkat.

“Selepas saya mendedahkan kehidupan lampau saya, saya telah mendapat pelbagai respons daripada banyak orang.

“Ada yang menyokong, ada yang sebaliknya mengatakan saya memalukan diri dan keluarga kerana membuka aib yang tidak akan dibuka oleh orang lain.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya bukan mahu memalukan keluarga atau membuka aib, sebaliknya saya mahu berterima kasih kepada Allah S.W.T kerana masih memberi saya ruang untuk memperbaiki diri dengan menyedarkan saya tentang khilaf yang dilakukan sebelum saya meninggal dunia dalam kesesatan.

“Saya juga tidak malu mengaku keburukan lampau kerana saya tidak takut atau malu dengan pandangan masyarakat, sebaliknya saya mahu dan takut hanya pada Allah S.W.T sahaja,” tegasnya.

Biarpun sudah berubah paksi, itu tidak bermakna Malek melupai duniawi terus. Dia memberitahu kadang-kala masih bertemu teman-teman lama dan masih mengunjungi karaoke.

Katanya: “Sebab itu saya kata saya bukan alim ulama. Kehidupan saya banyak berubah tetapi saya juga harus menyeimbangi kehidupan duniawi asal ia tidak berlebihan dan sentiasa mementingkan akhirat.” - sumber H-Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...