Followers

Monday, June 28, 2010

AKU BELUM BERSEDIA UNTUK KAPAL ITU



Di sebuah pelabuhan, seorang anak muda melihat – lihat kapal – kapal besar di sekelilingnya. Sedang dia meninjau – ninjau, datang seorang pakcik. Pakcik itu menegur anak muda itu, “Assalamualaikum”.

“Waalaikumussalam”

“Anak muda, pakcik syorkan anak muda naik kapal ini,” kata pakcik tersebut sambil ibu jarinya menunjuk ke arah kapal di sebelah kanan beliau. Anak muda itu lihat terdapat beberapa orang muda, sebaya dengannya di dalam kapal tersebut. Muka mereka semuanya ceria dengan pakaian yang segak. Ada yang berkeris, bersampin dan bertanjak. Suasananya sungguh menarik perhatian anak muda itu.

Kata pakcik itu lagi, “banyak kelebihan jika anak muda menaiki kapal ini”.

“Betul ke pakcik, apa kelebihan – kelebihannya?”

“Pertama sekali, status anak muda dimuliakan, iaitu anak muda dikira telah melengkapkan separuh daripada tuntutan atas anak muda. Kemudian, bayaran pekerjaan anak muda juga akan dikira berlipat kali ganda. Selain itu, anak muda akan terpelihara daripada beberapa serangan musuh jika berada di atas kapal tersebut. Dan banyak lagi kelebihan – kelebihan apabila anak muda menaiki kapal tersebut.”

“Kalau macam tu, apa syaratnya untuk saya naik kapal tu?”

“Kamu perlukan tiketnya”

“Berapa ya harga tiket kapal itu?”

“Bergantung anak muda, lazimnya sampai puluhan ribu, tetapi jika anak muda bernasib baik, ada yang sanggup berikannya tanpa menyukarkan keadaan anak muda, tetapi bilangan mereka tidak ramai, berhati – hatilah mencarinya. Anak muda perlulah pilih penjual tiket yang sesuai dengan kemampuan anak muda.”

“Aduh, puluhan ribu pakcik? Saya tidak semampu itu pakcik. Macam mana saya nak cari yang murah harganya pakcik?”

“Usahakanlah anak muda jika kamu mahu menaiki kapal itu” kata pakcik tua itu sebelum melangkah. Meninggalkan anak muda itu terkebil – kebil. Mana mungkin dia mampu membeli tiket semahal itu.

Tiba – tiba datang pula seorang lelaki tua berjanggut putih, berjubah dan berserban hijau. “Assalamualaikum, anakanda ini mahu naik ke kapal ini kah?” tanya lelaki berjubah tersebut.

“Waalaikumussalam, ya pak haji. Saya sangat tertarik dengan kelebihan – kelebihan berada di atas kapal tersebut.”

“Anakanda, berhati – hatilah sebelum menetapkan keputusan untuk menaiki kapal tersebut. Lihatlah ke arah kapal tersebut, jetinya sangat halus dan berayun – ayun akibat ombak yang kuat. Kalaupun anakanda sudah dapatkan tiketnya, belum tentu anakanda mampu sampai ke kapal itu. Sedikit kecuaian dan kelalaian akan menyebabkan anakanda jatuh daripada jeti dan hanyut dipukul ombak. Di samping itu, terdapat penjahat – penjahat di sekitar jeti tersebut yang cuba sedaya upaya untuk menghalang anakanda naik kapal tersebut. Mereka ini akan memperdaya dan memaksa anakanda untuk naik sampan – sampan kecil yang bocor tetapi telah dihias cantik supaya anakanda tidak menaiki kapal tersebut.”

“Aduh, begitu sekali ke pak haji?”

“Ya anakanda. Tetapi yang lebih penting ialah anakanda mesti siapkan diri untuk menghadapi cabaran apabila berjaya menaiki kapal tersebut. Di sana cabarannya lebih besar. Kapal ini akan berlayar di atas laut yang tidak menentu. Adakalanya tenang, namun adakalanya sangat berbahaya dan mencabar. Tanpa persiapan yang cukup, anakanda akan kecundang. Anakanda bertanggungjawab atas kapal tersebut sepenuhnya. Kalau ada bahagian yang pecah kerana pukulan ombak, anakandalah yang mesti menampal lubang supaya kapal itu tidak karam. Kalau diserang oleh lanun, anakandalah yang mesti mempertahankannya. Dan yang paling penting, anakanda mestilah pandai berenang, kerana takut – takut kalau jatuh ke laut sewaktu suasana genting, anakanda dapat selamatkan diri ke kapal dan tidak dihanyutkan arus laut dan ombak badai. Ingatlah, perkara yang baik itu akan datang pada mereka yang bersabar.”

Anak muda itu terpaku dan menghitung kemampuan dirinya. “Kalaupun aku mampu membeli tiketnya, tetapi mampukah bersedia dengan cabaran – cabaran tersebut”, fikir dirinya sendiri. Tanpa disedari dirinya, lelaki berjubah itu sudah pun menghilangkan diri.

Sedang fikirannya melayang – layang, datang seorang wanita berumur menghampiri anak muda tersebut, di tangannya ada tiket ke kapal tersebut. “Assalamualaikum, anak muda. Makcik lihat kamu ini sesuai untuk naik ke kapal itu”, kata mak cik itu merujuk kapal yang sama.

“Beginilah, makcik ada tiket kelas tinggi dan makcik sangup berikan pada kamu. Tetapi, makcik perlukan kamu untuk melakukan beberapa pekerjaan untuk makcik, sanggup tak?” Sambungnya lagi.

“Betul ke makcik? Tetapi apa yang makcik nak saya buat?”

“Makcik perlukan kamu untuk bantu makcik uruskan perniagaan makcik, sanggupkah kamu?”

“Izinkan saya balik ke kampung dan bincang dengan ibu dan ayah saya makcik”

“Baiklah anak muda, semoga berjumpa lagi”.

Tawaran wanita berumur tersebut sungguh lumayan. Anak muda itu hampir – hampir terlupa pesan lelaki berjubah tersebut lantaran tawaran tiket tersebut. Dalam perjalanan pulang ke kampung. Anak muda itu lihat kampungnya telah rosak binasa diserang lanun. Golongan yang tua banyak yang tercedera, tetapi yang lebih teruk adalah golongan muda. Serangan lanun – lanun tersebut telah pun menyebabkan mereka tercedera teruk sehingga tidak mampu lagi bergerak. Hampir semuanya lumpuh. Malah ada pula yang mengikut lanun – lanun tersebut demi menyelamatkan diri sendiri dan mendapatkan habuan yang sedikit hasil rompakan kampungnya sendiri.

Melihat keadaan ini, anak muda itu lantas tersedar daripada lamunan akibat pelawaan wanita berumur tersebut. Anak muda itu insaf dan segera teringat ancaman – ancaman lanun jika dia berlayar atas kapal tersebut. Terfikir dia akan pesan lelaki berjubah itu tentang perlunya dia bersedia menghadapi mereka. Bagaimana dia mampu menghadapi lanun – lanun tersebut jika begini sekali jahat dan rakusnya mereka?

Anak muda itu terdiam dan duduk berfikir. Di hujung matanya dia melihat saki baki orang – orang kampungnya yang terselamat cuba menyelamatkan beberapa orang yang lain. Dia pun bangun dan cuba membantu sedaya upayanya. Dalam pada itu, dia mula melupakan hasratnya untuk menaiki kapal tersebut. Segala usaha dan upayanya lebih diperlukan untuk membangunkan semula kampungnya yang telah rosak teruk. Akhirnya, dia menulis sepucuk surat menyatakan kepada wanita tersebut bahawa dia menolak pelawaan wanita tersebut dan dia lebih diperlukan untuk membaik pulih kampungnya. Surat itu dihantar oleh seekor burung merpati putih.

Dan setiap kali anak muda itu dihinggapi perasaan yang kuat untuk menaiki kapal itu, cepat sekali dia menangkis dan menyatakan, “Aku belum bersedia untuk kapal itu, tanggungjawab aku di sini jauh lebih berat.”

2 comments:

AnsarinaMohamed said...

sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan "kapal" tu ustaz??

alieavea said...

sy pon kurang paham..apakah maksud kapal itu?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...