Followers

Saturday, May 21, 2011

Lelaki-Lelaki Subuh

alt

Waktu subuh? Solat subuh? Dan kemudiannya lelaki-lelaki subuh?

Apakah itu? Siapakah pula mereka-mereka itu? Macam pelikje bunyinya?

Saya jamin, jika tidak banyak, pasti rakan-rakan sekalian punyai sedikit kemusykilan..

Sebenarnya, persoalan di atas berkait rapat dengan solat subuh. Spesifiknya lagi, persoalan di atas boleh dirumuskan begini;

Adakah anda bersolat subuh secara berjemaah di masjid atau di surau?

Jika ya, syabas diucapkan. Jika tidak, ayuh kita sematkan azam bulatkan tekad untuk lebih beristiqamah solat subuh secara berjemaah di masjid selepas ini. Boleh bukan?.

Soalan kedua pula, kesinambungan dari soalan pertama..

Selepas solat subuh.. apa yang anda lakukan? Membaca Al Quran? Bagus jika ya.. selepas itu?Oppss, alamak.. saya tertidur.

Insya-Allah, hadirnya saya menulis disini adalah untuk bercerita serba ringkas apa yang saya dapat dari program motivasi sebentar tadi di Melaka. Rugi rasanya jika saya tidak berkongsi dengan kalian semua, kerana banyak input menarik yang boleh dirungkai dan dikupas bersama.

Walaupun pada mulanya program ini hanyalah untuk para peserta, tetapi saya dan fasilitator lain turut terpaku mendengar satu demi satu fakta yang dikupas secara teliti dan 'mempersonakan' menarik saya dan yang lain untuk sama-sama mendengar ceramah yang disampaikan. Terima kasih Dr. Ariff.

Rakan-rakan sekalian..

Ada kalanya kita rasa suram, rasa sedih, rasa murung. Bak kata remaja-remaja sekarang, bangun-bangun pagi saja dah emo. Seperti ada sahaja yang tidak kena. Dimanakah silapnya?

Silapnya adalah kerana anda tidur selepas solat subuh. Aduh, memang tepat mengena di pelusuk kiri jantung ini.

Penceramah dengan penuh hemat menceritakan bahawa tidur selepas waktu subuh adalah sangat tidak baik untuk emosi dan kesihatan.

Kenapa? Kerana anda akan disihir jin.

[rujuk surah Al - Falaq]

"Katakanlah, "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar)"

"Dari kejahatan (makhluk yang dia ciptakan)"

"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita"

"Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada
buhul-buhul (talinya)."

"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dengki."

Jadi, mulai saat dan detik ini, mari kita sematkan azam untuk berubah. Insya-Allah!

Selain itu, saya pasti ramai yang mengetahui bahawa waktu subuh bukan sahaja waktu yang penuh dengan rezeki, tetapi juga penuh dengan Ilham. Jika anda tidak percaya, cubalah anda belajar atau mencari idea-idea pada waktu subuh.. pasti idea dan solusi-solusi bernas akan timbul. Begitu juga satu jam belajar pada waktu subuh lebih berharga dari 4 jam belajar pada waktu-waktu lain. Namun harus diingat, niat itu yang terutama.

Menyebut pada soal niat pula.. "Setiap perbuatan itu bermula daripada niat" sedarkah bahawa setiap gerak dan kerja menuju kejayaan itu adalah bermula daripada niat. Bagaimana?

Kita gambarkan melalui satu analogi..

Pelajar yang berniat menjadi seorang Doktor yang berjaya di dunia dan di akhirat pasti akan memandang buku anatomy sebagai satu kesukaan dan ibadah, berbeza pula dengan pelajar yang mengambil bidang kedoktoran ini secara suka-suka, ikut-ikutan dan kerana inginkan pangkat dan harta kekayaan.. mereka tidak akan lihat belajar itu sebagai satu ibadah dan perkara yang menyeronokkan. Hasilnya, mereka akan mudah stress dan jemu.. pernahkan anda berasa sedemikian? jika ya.. ayuh kita perbetulkan niat!

Pesan ayah..

"Ayah tengok budak-budak muda sekarang yang masuk dakwah ni bukan tak bagus, diorang ni bagus.. tapi tengoklah macam mana diorang kerja. Time mengajar baca paper, datang sekolah lambat.. akhlak macam inikah contoh seorang pendakwah?"

Tersentak saya seketika, lalu saya menyoal kembali kepada diri.. di manakah silapnya.. saya tidak mahu soal ini menjadi fitnah bagi dakwah...

Kembali berbalik kepada persoalan di atas, Alhamdulillah, ketika itu saya sedang membaca buku terbaru karya Ustz Pahrol Mohamad Juoi, 'Dilema Melayu- islam, kurang fikir atau kurang zikir'. Didalam bab 21 iaitu 'Salah faham tentang islam', beliau banyak mengulas sikap sesetengah golongan melayu-islam yang bukan sahaja salah tafsir tentang islam tetapi menyempitkan sudut pandangan mereka tentang islam.

"Mereka cenderung melihat Islam pada aspek rohaniah semata-mata dengan membelakangkan aspek material, ataupun hanya melihat aspek material dengan meminggirkan soal rohaniah" - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Adakah mereka lupa bahawa dunia ini adalah ladang bagi tanaman akhirat?

Kekeliruan seperti inilah yang harus kita bendung. Ini adalah kerana akibat kelemahan sistem penyampaian islam oleh para pendakwah mereka sebenarnya secara tidak sedar bahawa akhlak dan sikap mereka juga menimbulkan fitnah bagi dakwah Islamiah itu sendiri.

Dr Yusuf Al Qadrawi pernah memetik kata-kata seorang sarjana barat yang terbuka hatinya untuk memeluk islam "Subhanallah yang mengenalkan aku islam sebelum aku mengenal orang islam" Ertinya, mungkin jika sarjana tersebut mengenal umat Islam terlebih dahulu hatinya akan tawar memeluk islam!

Maka ayuh, kita jadikan ia sebagai motivasi agar kita boleh menjadi seorang pelajar dan pendakwah yang baik. Hiasilah jiwa kita dengan akhlak dan sifat-sifat seorang pelajar yang cemerlang. Bukan kecemerlangan duniawi sahaja yang ingin dicari tetapi kecemerlangan akhirat juga harus ditampilkan dengan Qudwah Hasanah yang mungkin boleh mencairkan hati insan-insan yang ingin kita dakwahkan itu.

Pesan Imam Hassan Al Banna

Bagi para dai dan murobbi, mari kita tunaikan sepuluh wasiat ini. Ia adalah resipi mujarab buat pengubat umat. Kaedah yang teruji sepanjang perjalanan waktu hingga kini. Mari kitaprioritaskan dan amalkan.

1. Bangunlah segera untuk melaksanakan shalat apabila mendengar adzan walau bagaimanapun keadaanmu.

2. Baca, telaah dan dengarkanlah al- Qur'an, berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau senang menghambur-hamburkan waktumu dalam masalah yang tiada faedahnya.

3. Bersungguh-sungguh untuk boleh berbicara dalam bahasa arab yang fasih.
(InsyaAllah, mahirkan bahasa melayu dahulu kerana medium dakwah kita yang paling utama di Malaysia ialah umat islam melayu. Tetapi harus diingat, bahasa arab juga penting kerana ia adalah bahasa Al Quran)

4. Jangan memperbanyak debat dalam percakapan kerana itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

5. Jangan banyak tertawa kerna hati yang selalu berkomunikasi (berzikir) dengan Allah sifatnya aman dan tenteram.

6. Jangan suka bergurau kerana umat yang berjihad akan senantiasa berusaha bersungguh-sungguh.

7. Jangan mengeraskan suara di atas suara yang diperlukan pendengar, kerana hal itu akan menganggu dan meyakiti.

8. Jauhilah ghibah (mengumpat) atau menyakiti hati orang lain dalam bentuk apa pun dan janganlah berbicara kecuali yang baik.

9. Berkenalanlah dengan setiap saudara yang saudara temui kerana asas dakwah kita adalah saling kenal-mengenal dan berkasih sayang.

10. Pekerjaan utama kita adalah tertumpu pada waktu yang tersedia, maka tolonglah saudaramu untuk memanfaatkan waktunya, dan apabila kalian punyai keperluan maka sederhanakanlah dan cepatlah diselesaikan.

Alhamdulillah.

Sebelum entry ini diakhiri, suka saya berpesan untuk ingatan diri saya sendiri dan rakan-rakan.. jika kita punyai masalah, jika kita berduka, usahlah mengadu kepada manusia. Mengadulah sepuasnya hanya pada Allah, kerana "kita" adalah apa yang kita niatkan dan fikiri tentang Allah. Jadi, ayuh bertawakal dan beprasangka baik dengan Allah!

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...