Followers

Saturday, May 14, 2011

Sejarah Perjuangan Islam di Tanah Melayu/Malaysia: 1955 – 1983

Fakta : Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin tertinggi UMNO yang kedua secara automatik memimpin kerajaan Perikatan bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain. Selaku kerajaan yang baru sahaja dibentuk, maka sudah tentulah mereka menghadapi pelbagai masalah yang menggugat kerajaan mereka. Pelbagai pihak di dalam negara masih sukar untuk dikongkong agar menjadi penyokong kerajaan. Akhbar-akhbar masih berperanan dengan bebas mengkritik pelbagai dasar yang berakhir dengan proses ‘penelanjangan’ kebebasan akhbar pada tahun 1962. [Said Zahari,Meniti Lautan Gelora] Pada peringkat ini jugalah berlakunya proses peralihan perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik nasionalis yang mempunyai nilai Islam kepada sebuah parti politik yang mempunyai konsep jemaah dan benar-benar menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Ini berlaku seriingan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia. Kronologinya secara umum bolehlah dirumuskan seperti berikut :

1963 : Pembentukan Malaysia menyatukan Singapura, Sabah dan Sarawak. PAS yang masih merupakan parti politik nasionalis bercorak Islam mengambil sikap menentang yang sederhana.

1963 : Ideologi perjuangan Ikhwanul Muslimin mula meresap masuk ke dalam PAS. Di bawah pimpinan Prof Zulkifli Muhammad, PAS menghantar Haji Yusuf Rawa, AJK PAS Pusat ke Timur Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Dialog demi dialog diadakan khususnya dengan pimpinan Ikhwan.

1964 : PAS di bawah Prof Zulkifli menghantar sepuluh orang pelajar-pelajar Malaysia yang pertama untuk melanjutkan pelajaran ke Iraq. Secara sulitnya, ia adalah persediaan awal untuk melahirkan satu generasi perjuangan yang berlainan dengan generasi yang sedia ada.

1964 : Prof Zulkifli Muhammad meninggal dunia dalam satu kemalangan. Tidak lama selepas itu, PAS kehilangan pula Dr. Burhanuddin. Seterusnya, PAS dipimpin oleh Dato’ Asri. Kepimpinan beliau dikatakan semakin mengukuhkan lagi semangat ideologi kebangsaan Melayu dari dasar rasmi PAS iaitu Islam. Oleh yang demikian, PAS seterusnya benar-benar tidak dikenali sebagai gerakan Islam.

1968 : Al-Arqam ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Dalam satu jangka masa yang panjang, ia mewujudkan satu senario yang benar-benar tidak disangka. Walau bagaimanapun, saya merasakan perbahasan mengenai Al-Arqam tidak wajar disentuh di peringkat ini. [Zabidi Mohammad, Al-Arqam : Tersungkur Di Pintu Syurga. Hal : 18]

1969 : Perlantikan beberapa orang ustaz-ustaz muda ke jawatan penting khususnya Ustaz Hassan Shukri yang baru saja pulang dari Iraq. Beiau terus dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau dan rakan-rakannya mula memerkenalkan konsep tarbiyyah ala Ikhwan. Pada masa tersebut, bermulalah secara rasmi apa yang dinamakan ‘pertembungan dalaman’ antara pimpinan yang sedia ada dengan ahli peringkat bawahan yang mehukan pembaharuan dalam halatuju perjuangan PAS.

1969 : Rusuhan kaum di Kuala Lumpur ekoran rasa tidak puas hati akibat jurang perbezaan ekonomi antara kaum. PAS khususnya tidak melihat ini sebagai peluang untuk menyerang habis-habisan pihak kerajaan ekoran kegagalan mereka membina perpaduan kaum. Adalah tidak dinafikan, pergolakan dalaman PAS merupakan penyebab kepada kegagalan mereka untuk berfungsi dengan sebaik mungkin.

http://seruling.files.wordpress.com/2008/10/abim.gif

1971 : Penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia sebenarnya ialah alternatif kepada golongan muda yang benar-benar mahu merealisasikan tuntutan perjuangan Islam ala Ikhwan. Pemikiran Sayyid Qiutb yang sebelum ini berkisar di kalangan ahli-ahli PAS mula diambil alih oleh ABIM. Penubuhan ABIM sebenarnya banyak dipelopori oleh bekas tokoh-tokoh pelajar yang radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi, Sidiq Fadhil dan lain-lain. Ia juga turut menarik golongan ‘ustaz muda’ seperti Haji Abdul Hadi, Abdul Ghani Shamsuddin dan Fadhil Nor. Secara tidak langsung, ABIM sebenarnya dilihat sebagai wadah terbaik bagai meneruskan kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia pada masa itu. Ini disebabkan oleh imej UMNO sebagai ultra-sekular dan imej PAS yang masih dilihat sebagai nasionalis sukar untuk diterima oleh golongan muda.

1973 : Penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional ekoran pelawaan yang dibuat oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak di atas nama perpaduan Melayu. Polemik yang dicetuskan oleh ‘langkah merbahaya’ PAS ini telah memperhebatkan lagi pergolakan dalaman yang telah sedia wujud sebelum ini. Walaupun PAS masih mengekalkan dasar rasminya iaitu Islam, namun ia tidak lebih sebagai retorik ekoran pengiktirafan PAS terhadap pendekatan UMNO/BN pada masa itu. Penyertaan PAS ke dalam BN juga secara tidak langsung juga menyebabkan ramai tenaga muda menjadikan ABIM sebagai pilihan utama.

http://pemudasarawak.files.wordpress.com/2009/02/jul07_anwaribrahim.jpg

1974 : Anwar Ibrahim memimpin demonstrasi besar-besaran pelajar di Baling bagi memperjuangkan isu kemiskinan. Beliau seterusnya mula muncul di persada politik Malaysia dengan imej Islamik dan radikal [Ahmad Lutfi Othman, Wajah Baru Politik Malaysia, hal. 18].

1977 : Majlis Syura Tertinggi ABIM memutuskan penyertaan tiga orang ahli mereka ke dalam PAS khusus bagi satu ‘misi khas’ iaitu memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah atau dalam erti kata lain ‘menyelamatkan’ PAS dari terus hanyut dalam lautan perjuangan kebangsaan. Tiga orang ahli tersebut ialah Haji Fadhil Noor selaku Timbalan Presiden Abim, Haji Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya merupakan Exco ABIM Pusat.

1978 : Berlaku krisis dalaman yang hebat di dalam PAS antara Dato’ Asri selaku YDP PAS dengan Mohamad Nasir selaku MB Kelantan. PAS Kelantan khususnya benar-benar berpecah. Akibat kekacauan yang timbul, darurat akhirnya distiharkan di Kelantan dan PAS ditendang keluar dari BN. Dengan ‘tangan yang terikat’, PAS dipaksa untuk bertarung dalam pilihanraya di Kelantan yang akhirnya menyaksikan Kelantan jatuh ke tangan BN untuk kali pertama selepas kemerdekaan. Krisis dalaman PAS ini juga membawa kepada terbentuknya parti Berjasa sebagai parti serpihan PAS.

1979: Revolusi Syiah di Iran berjaya meruntuhkan diktator Shah melalui kuasa rakyat. Ia mencetuskan kembali kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali. Walaupun sebenarnya, pembaharuan di dalam PAS bermula lama sebelum itu, namun Revolusi di Iran mempercepatkan lagi langkah ke arah pembersihan PAS dari sebarang ideologi yang bercanggah dengan kehendak perjuangan Islam.

http://www.mir.com.my/rb/photography/windows/images/markfallPM.jpg

1981 : Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Hubungan peribadi yang rapat antara bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir sebelum ini secara tidak langsung menjadikan ABIM bersikap lebih lembut terhadap kerajaan yang sebelum ini telah dicop dengan pelbagai tuduhan.

1982 : Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO dengan misi untuk merubah UMNO daripada dalam. Secara rasminya, ABIM yang sebelum ini dianggap sebagai anti-kerajaan bertukar kepada pertubuhan Islam yang pro-kerajaan. Ini ditambah lagi dengan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru Dr. Mahathir yang dianggap ultra-nasionalis sebelum ini menjalankan dasar Islamisasi di dalam kerajaan.

1983 : Ekoran desakan yang begitu kuat dari ahli-ahli PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat yang benar-benar mahu mengalihkan hala tujuan perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam, Dato’ Asri akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS untuk memberikan laluan kepada kepimpinan ulama’. Bermula dari situlah, PAS akhirnya didominasi oleh kepimpinan ulama’ sehinggalah hari ini.

Ulasan : Walaupun sebelum ini, PAS sebenarnya sudah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, namun sebenarnya PAS sebagai sebuah gerakan Islam hanya benar-benar lahir pada tahun 1983 iaitu selepas ideologi pemikiran Sayyid Qutb benar-benar mendasari perjuangan PAS. Sebelum daripada itu di bawah kepimpinan non-ulama’, PAS tidak lebih dari sebuah parti politik yang hanya mempunyai nama Islam tetapi tidak berbeza dengan UMNO dari segi pembawaan dan pelaksanaan dasar. Dan sejarah menyaksikan, proses pembersihan itu mengambil masa yang begitu panjang.

Pada peringkat inilah juga, lahirnya ABIM selaku penyebar pemikiran hakimiyyah ala-ikhwan. Peranannya dalam membantu kelahiran semula PAS sama sekali tidak boleh diperkecilkan. Namun, ‘ijtihad’ bekas pemimpinnya untuk menyertai UMNO telah merubah segala-galanya. Perlu disebut bahawa tidak sedikit yang menitiskan air mata akibat tindakan Anwar Ibrahim [Sayuti Omar, Siapa Pencabar Anwar? Hal. 50.]. Ekoran daripada itu, selepas tahun 1983, ABIM yang sebelum ini menjadi pendokong kuat pemikiran Sayyid Qutb mula bersikap lembut dengan kerajaan manakala PAS yang sebelum ini merupakan parti politik nasionalis Islamik berubah wajah menjadi gerakan Islam yang mendokong kuat cita-cita untuk menegakkan sebuah negara Islam yang sebenarnya. Saya mengira, di sinilah bermulanya pertarungan sebenar antara PAS sebagai sebuah gerakan atau jemaah Islam dengan pihak pemerintah.

Laluan PAS seterusnya di Malaysia pada masa ini sememangnya terlalu sukar ekoran kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Akibatnya, masyarakat menerima proses Islamisasi sederhana dan beransur-ansur yang dibawa bersama penyertaannya ke dalam kerajaan. Kerana itulah, PAS sebenarnya menghadapi laluan yang benar-benar getir dan mencabar.

Post akan datang: Sejarah Perjuangan Islam di Tanah Melayu/Malaysia: 1983-1997

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...