Followers

Sunday, May 8, 2011

Memilih Ibu Untuk Si Anak

alt

Mendidik anak bukan bermula selepas anak itu lahir, bahkan lebih awal lagi. Perancangan dalam mendidik anak mesti bermula seawal mencari jodoh. Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, dia perlu ingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya.

Wanita itu bukan hanya untuk dirinya sebagai seorang isteri, bahkan juga untuk anak-anaknya sebagai seorang ibu. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab setiap lelaki agar memilih ibu yang tepat untuk anak-anaknya.

Memilih ibu membawa maksud mencari jodoh isteri yang beriman, bertakwa dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu solehah. Untuk memenuhi tuntutan ini pemilihan isteri yang tepat perlu sejajar dengan penetapan yang dianjurkan oleh Islam. Ini amat penting bagi mencapai target ibu mithali yang menjadi hadiah kehadiran buat anak-anak yang akan dilahirkan ke dunia.

Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya?

Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak "Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar: Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran. Berkata si anak:Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: 'Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu.'

Teguran Umar itu bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda "Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan yang beragama, itulah pilihan yang terbaik."

Baginda saw menegaskan betapa pentingnya wanita yang mempunyai asas agama yang mantap dan amalan-amalan yang kuat yang mampu membentuk dirinya sebagai srikandi mulia dalam sesebuah institusi keluarga. Agama diiktifar sebagai kriteria tertinggi berbanding rupa paras, kekayaan dan darjat. Agama inilah yang dapat menjamin kemampuan si ibu untuk mendidik anak.

Pemilihan ibu yang tepat untuk si anak ini tentunya timbul atas kesedaran untuk menjadikan perkahwinan sebagai saham akhirat. Ini kerana pelayaran sebuah perkahwinan bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga atau semudah menyuapkan makanan ke mulut tanpa berfikir himpitan mahupun kekangan yang akan ditempuhi. Perkahwinan yang dianjurkan Islam perlulah berkemudi hingga ke pelabuhan dan hasilnya dapat dinikmati di akhirat kelak.

Perkahwinan beginilah yang mampu membuahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Lihat sahaja perkahwinan yang Rasulullah dengan isterinya yang tercinta Ummul Mikminin Saidatina Khadijah. Kebahgiaan yang dibina atas jihad kepada Islam ini mendamaikan dua hati yang diketemukan walaupun bertingkah jurang dari segi umurnya. Hasilnya zuriat yang lahir dididik dengan sempurna, menjadi tokoh ummah yang dikenang sepanjang zaman.

Ibu adalah manusia yang paling dekat dengan si anak. Ibu yang beriman dan bertaqwa akan melahirkan waris-waris yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Contohilah Khunsa', srikandi Islam yang berjaya dan mentarbiyah anaknya seramai tiga orang.

Ketika anak pertamanya mati syahid beliau masih tersenyum kerana masih ada anak yang kedua syahid yang kedua yang diharapkan akan gugur sebagai syuhada. Kejayaan Khunsa' menanam semanagt jihad pada jiwa anak-anaknya merupakan hasil daripada jiwa besar seseorang wanita yang akrab dan intim dengan ilmu-ilmu Islam dan amalannya.

Tidak salah mencari pasangan yang menawan, kaya dan berdarjat. Lagi lengkap pakej kesempurnaan, lagi baik. Asalkan krieteria utama iaitu beragama tidak dicicirkan. Seorang anak tidak boleh dididik dengan wang ringgit atau kekayaan si ibu. Si ibu yang cantik bukan jaminan bahawa dia mampu mendidik anak dengan baik.

Begitu juga darjat dan keturunan bukanlah penyebab yang dapat membentuk personaliti soleh dan solehah anak. Tetapi yang pasti, agama si ibu adalah satu jaminan ke arah kesempurnaan didikan anak. Ibu yang berakhlak, berilmu, taqwa, kuat beribadah secara adatnya mampu membimbing anak ke jalan bahagia.

Sekurang-kurangnya percikan akhlak solehah si ibu mampu mendorong si anak secara lisanul hal. Atau setidak-tidaknya doa si ibu yang luhur peribadi ini mampu menggamit hidayah, rahmat dan keampunan Allah buat si anak.

Malang sekali masyarakat hari ini tidak mengambilkira soal pemilihan ibu untuk si anak. Mereka melihat perkahwinan ini dari sudut kepuasan nafsu semata. Si gadis yang comel, seksi dan bergaya itulah yang diutamakan.

Jika si dia kaya dan berdarjat lagi mahu. Soal akhlak, iman dan alam diketepikan. Semasa memilih pasangan tidak terlintas soal anak. Bila anak sudah lahir, anak menjadi mangsa kejahilan dan kebobrokan akhlak ibu.

Mereka lupa tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu yang berperanan untuk memelihara dan mendidik anak-anak menjaga kehormatan diri dan menjamin keperluan rumahtangga yang mencukpi.

Bukan lelaki sahaja perlu mencari ibu yang betul untuk si anak, malah para wanita juga perlu memilih bapa yang tepat untuk anaknya. Wanita yang solehah perlu merancang memilih bapa soleh untuk anak-anak mereka. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi "Apabila datang kepada kamu peminang (lelaki) yang engkau puas hati dengan agamanya dan kelakuannya, makakahwinilah dia".

Betapa malangnya wanita mukminah yang jatuh ke tangan ketua keluarga yang "thaleh" dan curang akhlaknya serta memandang enteng prinsip-prinsip Islam dan ibadah-ibadah. Apalah gunanya anak-anak yang hidup dalam keluarga yang terajunya tidak mengindahkan hukum dan seruan Allah.

Tegasnya, demi untuk zuriat yang bakal lahir, setiap pemuda dan pemudi wajib merancang dengan baik dalam mencari bakal ibu dan bapa kepada anak-anak. Jika gagal, tidak mustahil anak-anak nanti menjadi rosak dan akhirnya menjadi derhaka kepada ibu dan ayah. Jangan jadi seperti yang dikatakan oleh Sayyidina Umar: 'Kamu telah menderhaka kepada anakmu, sebelum anakmu menderhaka kepada mu...'

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...