MUQADDIMAH
Persoalan tentang keharusan memilih wasilah pilihan raya untuk menegakkan daulah Islamiah merupakan antara polemik umat yang masih wujud hingga kini. Memandangkan tiada nas qat’ie yang menegah daripada memasuki pilihan raya, maka perkara ini bersifat ijtihadi ‘amali. Oleh itu ia membawa kepada lahirnya golongan yang berpandangan boleh menyertai pilihan raya, dan dalam masa yang sama wujud juga golongan yang menolak kaedah ini dengan dalil dan alasan masing-masing.
Melalui penulisan ini, penulis cuba mengutarakan beberapa pelepasan syarak (yang membolehkan kita memasuki pilihan raya, di samping membentangkan syubhat-syubhat yang wujud dan penolakannya serta mauqif beberapa gerakan Islam seluruh dunia dan Ulama’ semasa mengenai persoalan ini.
DEFINISI
Pilihan raya merupakan satu proses memilih calon yang bertanding untuk menjadi ahli parlimen atau DUN yang merupakan institusi eksklusif dalam pemerintahan sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen.
PELEPASAN SYARA’ YANG MEMBOLEHKAN PENYERTAAN DALAM PIHAN RAYA (DALIL GOLONGAN YANG MENERIMA KAEDAH PIHAN RAYA).
1. Kaedah usuliah : Hukum asal bagi sesuatu adalah harus (الأصل فى الأشيأ الاءباحة ). Memandangkan tidak ada nas qat’ie sama ada al-Quran atau as-Sunnah yang mengharamkan penyertaan dalam pilihan raya, maka hukum asal pilihan raya adalah harus.
2. Kaedah fiqhiyyah: ارتكاب اخف الضرربن -Memang tidak dinafikan menyertai pilihan raya boleh menimbulkan mudharat, tetapi menolak pilihan raya adalah lebih besar mudharat kerana membuka peluang besar kepada gabungan musuh Allah menguasai pemerintahan negara.
3. Pilihan raya merialisasikan beberapa tuntutan dan maslahah syariah mu’tabarah.
i. antara juzuk dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.
ii. proses menegakkan pilihan raya secara muwajjahah silmiah.
iii. tarbiah jihadiah kepada anggota harakah Islamiah.
4. Boleh menggunakan idea atau sistem bukan Islam selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam, tidak memudhratkan Islam, bahkan boleh menguntungkannya.
- sistem himayah / jiwar.
- Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan ke madinah dalam peristiwa hijrah.
- Tuntutan semasa yang realistik dan praktikal.
BEBERAPA SYUBHAT ( ALASAN-ALASAN GOLONGAN YANG MENOLAK WASILAH PILIHAN RAYA ) DAN PENOLAKAN KE ATASNYA.
SYUBHAT PERTAMA:
1. Terdapat beberapa ayat yang menegah daripada duduk bersama kuffar atau munafik, condong kepada golongan yang zalim atasnya: An Nisa’ (140), Al-An’am (68), Hud (113) dan Al-Isra’ (73).
*(sila rujuk ayat dan terjemahannya)
Ulasan ayat:
Realiti menunjukkan ahli parlimen (AP) sebahagiannya terdiri daripada orang kafir, munafik dan zalim sedangkan ayat-ayat di atas menegah daripada kita duduk bersama mereka. Maka menegakkan daulah Islamiah dengan cara bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi AP adalah ditegah.
BIDASAN SYUBHAT 1.
Pertama : Ayat-ayat di atas kalau dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, tidak menunjukkan larangan menyertai pilihan raya untuk menjadi AP, bahkan adalah sebaliknya. Sebagai contoh, ayat pertama (140: النسأ) jelas menunjukkan kita boleh duduk bersama mereka (orang- orang kafir / munafik / zalim) dalam membincangkan perkara-perkara yang dibolehkan dan kerana larangan hanya tertakluk kepada perkara-perkara yang mempersendakan ayat-ayat Allah dan mengkufurinya.
Realiti menunjukkan bahawa perbahasan tentang perundangan yang bercanggah dengan syara’ adalah terlalu sedikit berbanding perkara-perkara yang dibolehkan. Persidangan parlimen biasanya tertumpu kepada perlaksanaan kuasa eksekutif yang diagihkan melalui kementerian-kementerian, peraturan-peraturan, cukai, isu semasa, hubungan antara negara dan lain-lain yang tidak berkait dengan tegahan akta bahkan termasuk dalam hadis:
أنتم أعلم بأمور دنياكم
Berkata Al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini : setiap orang yang duduk dalam majlis maksiat sedangkan dia tidak mengingkari pihak yang melakukan maksiat tersebut maka dia turut berdosa seperti mereka. Maka hendaklah dia mengingkari mereka yang bercakap tentang perkara yang ditegah supaya tidak termasuk dalam golongan yang dinyatakan dalam ayat ini. (1)
Ayat-ayat yang lain juga berkaitan pada makna yang sama dengan ayat di atas. Pembaca sangat digalakkan untuk merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang menyabitkan kebenaran yang penulis nyatakan.
Kedua : Kita tidak menolak berlakunya perbahasan tentang perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak dan mempersendakan agama dalam persidangan parlimen, tapi bukankah ketika itu seorang ahli parlimen Muslim boleh keluar dewan sebagai menyatakan protes dan bantahannya terhadap perbahasan tersebut bagi menyahut seruan ayat-ayat di atas?
Ataupun manakah yang lebih aula; meninggalkan parlimen ataupun bangun bersuara dan menyatakan pandangan Islam yang sebenar dan mencegah kemungkaran tersebut? Bukankah perkara ini merealisasikan hadis: ….. من رأي منكم منكرا dan hadith …..
أ فضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
____________________________________________________________________
(1) Rujuk :الجامع لأحكام القرأن للقرطبي : الجزؤ الخامس m.s. 418
SYUBHAT KEDUA:
Keharusan menyertai parlimen melalui pilihan raya adalah satu bentuk persekongkolan dengan sistem kafir. Seterusnya, manfaat-manfaat yang mungkin diperoleh melalui pendekatan ini adalah lebih sedikit berbanding mudarat yang bakal menimpa. Tambahan pula ia akan membawa kepada penghinaan secara tidak langsung terhadap hukum-hukum Allah kerana seorang Muslim wajib melaksanakan hukum-hukum Allah tetapi dia terpaksa akur dengan keputusan majoriti ahli parlimen walaupun dalam perkara yang bercanggah dengan syarak. Tidak mungkin pelaksanaan hukum Allah dapat ditegakkan melalui kaedah ini kerana sistem ini boleh membatalkan usaha-usaha golongan Islam untuk melaksanakan syariat Allah melalui parlimen seperti yang berlaku di Algeria.
BIDASAN:
Pertama : Penyertaan sebagai ahli parlimen tidak boleh dikatakan persekongkolan dengan sistem kufur. Ini kerana seorang ahli parlimen pada hakikatnya mewakili rakyat yang mana dia sendiri adalah afrad kepada rakyat itu sendiri. Oleh itu bukankah sepatutnya dia perlu menyertai parlimen untuk mewakili rakyat setempat dengan matlamat menjaga kemaslahatan mereka dan menegakkan kalimah Allah.
Kedua : Pendapat yang menyatakan bahawa mudarat yang bakal menimpa lebih besar berbanding maslahat yang diperoleh, adalah sekadar andaian semata-semata dan tidak lebih daripada itu, kalau pun benar, ia hanya berlaku dalam keadaan majoriti ahli parlimen adalah golongan yang anti-Islam. Bahkan sebenarnya dengan menyertai parlimenlah lebih banyak maslahah yang didapati berbanding mudhorat yang menimpa. Cuba fikirkan apakah yang akan berlaku sekiranya yang menjadi tempat penggubalan undang-undang dipenuhi golongan sekularis semata-mata. Pastinya nasib umat akan lebih celaka dengan terlaksananya undang-undang jahiliah. Sebaliknya jika ahli parlimen terdiri daripada golongan yang mutadaiyyin maka konsep merealisasikan maslahat dan menolak mafasid lebih mudah dilaksanakan, lebih-lebih lagi, jika mereka yang menjadi ahli parlimen.
Ketiga : Adapun pendapat yang menyatakan penyertaan dalam parlimen merupakan penghinaan secara tidak langsung terhadap hukum Allah, maka ia hanya berlaku jika seseorang ahli parlimen Muslim (APM) itu lupa akan akidah dan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen yang sebenarnya. Akan tetapi jika dia melaksanakan amanahnya untuk meninggikan kalimah Allah dan menyeru kepada pelaksanaan amanahnya untuk meninggikan kalimah Allah dan menyeru kepada pelaksanaan hukum Allah di peringkat parlimen, maka bagaimana kita boleh katakan berlakunya pengabaian dan penghinaan secara tidak langsung kepada hukum-hukum Islam. Adakah logik kalau kita menganggap berlakunya pengabaian ke atas hukum-hukum Allah sekiranya seseorang APM mengetengahkan prinsip-prinsip Islam dalam dewan persidangan supaya didengari oleh ahli parlimen yang lain, dalam masa yang sama rakyat turut dapat sama mengetahui melalui saluran akhbar dan televisyen yang membuat liputan persidangan parlimen? Atau adakah kita hendak meninggalkan seluruh strategik ini sebaliknya hanya menggunakan saluran dakwah biasa seperti di masjid dan di majlis tertentu sahaja?
Keempat: Perlu ditekankan di sini bahawa penyertaan dalam parlimen melalui pilihan raya adalah antara jalan yang terbentang untuk menukar sistem jahiliah kepada sistem yang diredai oleh Allah dalam sesebuah negara. Jalan ini akan merancakkan lagi usaha-usaha menegakkan daulah Islamiah dan penyebaran dakwah di kalangan umat di samping uslub-uslub yang lain. Kita akur bahawa sistem demokrasi jahiliah yang mendasari pemerintahan sesebuah negara boleh menyekat bahkan membatalkan kemenangan golongan Islam seperti yang berlaku di Algeria. Tapi kita mesti menerima hakikat bahawa dakwah Islam perlu dilaksanakan di setiap sudut yang boleh dimasuki dan tidak sepatutnya kita melepaskan sudut strategik ini.
SYUBHAT KETIGA:
Peranan dan tanggungjawab dewan parlimen adalah bersifat kolektif. Maksudnya, mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh parlimen, maka setiap ahli parlimen bertanggungjawab terhadap undang-undang tersebut walaupun terdapat sebahagian daripada mereka yang tidak menyetujuinya. Maka dalam kes ini, penglibatan sebagai ahli parlimen adalah satu tindakan yang sengaja menjerat diri sendiri iaitu apabila berdepan dengan isu-isu yang mencabar kekuasaan Allah. Dengan kata-kata lain kedudukan seseorang sebagai ahli parlimen menyebabkan dia turut terlibat dengan dosa jika menggubal undang-undang yang bercanggah dengan syara’, walaupun dia membangkangnya, kerana undang-undang yang diluluskan oleh majoriti ahli parlimen dinisbahkan kepada dewan parlimen itu sendiri dan bukannya kepada ahli-ahli yang menyokongnya sahaja.
BIDASAN:
Pertama : Persoalan tanggungjawab, dosa dan pahala sama ada yang berkaitan dengan Allah atau sesama manusia pada hakikatnya adalah bersifat individu dan bukannya kolektif. Maka apabila seseorang APM membangkang penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan syara’, maka pada ketika itu tanggungjawabnya di hadapan Allah dan manusia telah lepas ( برائة الذمة ). Di sana terdapat sebuah hadis sohih bahawa nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “…kemudian mereka dibangkitkan atas niat masing-masing…” (hadis riwayat Bukhori daripada Saidatina Aisyah r.a.). Hadis ini menjelaskan bahawa apabila Allah murka kepada satu kumpulan tentera lalu Allah membinasakan mereka kesemuanya walaupun di kalangan mereka terdapat golongan yang soleh dan ada juga golongan yang derhaka. Akan tetapi di akhirat kelak mereka akan dibangkitkan iaitu di balas mengikut niat masing-masing; golongan yang soleh dimasukkan ke dalam syurga manakala yang derhaka pula dicampak ke dalam api neraka.
Maka jelaslah bahawa persoalan tanggungjawab di hadapan Allah taala adalah bersifat individu. Firman Allah taala:
كل نفس بما كسبت رهينة (المدثر : 33)
وأن ليس للانسان إلا ما سعى (النجم : 39)
ولا تزر وازرة وزر أخرى ( الأنعام : 164)
Kedua : Kita tidak menerima bahawa undang-undang yang diluluskan oleh parlimen hanya dinisbahkan kepada parlimen semata-mata. Hakikatnya setiap undang-undang yang digubalkan adalah atas nama rakyat kerana ahli parlimen adalah wakil kepada rakyat dan rakyat menjadi sasaran perlaksanaan undang-undang tersebut. Mahu tidak mahu , setiap ahli parlimen dengan sendirinya tidak dapat melepaskan diri daripada turut terlibat dengan setiap undang-undang yang digubal atas nama rakyat. Maka patutkah seseorang ahli parlimen itu membiarkan sahaja perkara yang bercanggah dengan syara’ berlaku dihadapannya dan turut melibatkan rakyat di semua peringkat? Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dia mesti membangkang sebarang penggubalan undang-undang yang boleh menyeret rakyat kepada kemurkaan Allah. Bukankah ini satu bentuk pembelaan yang dituntut oleh Islam?
SYUBHAT KEEMPAT:
Rasulullah sendiri menolak apabila ditawarkan dengan kekuasaan oleh pembesar-pembesar jahiliyyah yang mensyaratkan berlakunya ‘perkongsian dan pertukaran sembahan’. Sedangkan pada logiknya Nabi s.a.w. boleh menggunakan tawaran kuasa ini untuk penyebaran dakwah Islam. Maka kita juga sepatutnya mencontohi Nabi yang menolak tawaran kuasa yang dinaungi oleh sistem jahiliyyah.
BIDASAN:
Penolakan rasulullullah s.a.w. terhadap tawaran kuasa tersebut atas faktor adanya syarat yang diletakklan oleh musyrikin supaya berlakunya pertukaran tuhan / sembahan antara golongan Islam dan golongan kuffar bagi tempoh-tempoh tertentu. Dalam Islam strategi berdakwah tidak boleh sampai ke tahap bertoleransi dalam masalah iman dan aqidah. Akan tetapi dalam konteks amalan demokrasi hari ini, tidak ada sebarang syarat yang menuntut penggadaian aqidah seorang muslim untuk menjadi ahli parlimen. Bahkan setiap ahli parlimen mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian masing-masing apabila membahaskan sesuatu isu ataupun penggubalan undang-undang.
SYUBHAT KELIMA:
Penyertaan sebagai ahli parlimen seolah-olah meramaikan golongan munharifun (menyeleweng atau tidak menerima Islam sebagai landasan hidup yang syumul fautentik). Sedangkan Nabi s.a.w. telah bersabda : (من كثر سواد قوم فهومنهم ). Terjemahannya : Sesiapa yang meramaikan bilangan sesuatu golongan maka dia temasuk dalam golongan itu. Oleh itu, menjadi ahli parlimen meramaikan golongan munharifun dan terlibat dengan mereka.
BIDASAN:
Penulis suka menceritakan pengalaman Ustaz Fathi Yakan yang mana beliau telah cuba mengesan hadith di atas melalui المعجم المفهرس لألفاظ الحديث النبوىyang meliputi sunan sittah, muwatta’ dan musnad Imam Ahmad serta sunnan Ad-Dahrimi tetapi beliau tidak menjumpainya. Kalau pun hendak diandaikan bahawa hadith tersebut warid dalam kitab-kitab yang lain dan darjatnya sohih pula, tapi maksud hadith tidak boleh mengatasi makna hadith.
Berkenaan hadith (التشبه) ini para ulama’ mengatakan bahawa larangan yang dimaksudkan hanya meliputi perkara-perkara yang bersifat keagamaan sahaja. Adapun yang bersifat keduniaan ia tidak termasuk dalam larangan hadith.
Hakikatnya seorang ahli parlimen muslim tidak ‘meramaikan’ dewan parlimen yang terdapat ahlinya daripada golongan munharifun di atas 2 fakta :
Pertama : Dia tidak bersekongkol dengan mereka dalam penyelewengan yang mereka lakukan bahkan menyeru mereka ke arah kebenaran. Walaupun zahirnya dia bersama mereka, tetapi dari aspek aqidah dan cara berfikir mereka tidak sama.
Kedua : Dewan parlimen mempunyai bilangan ahli yang terbatas dan tetap. Maka penyertaan seorang APM sebenarnya boleh mengurangkan jumlah golongan lain dan bukan menjejaskan majoriti mereka.
SYUBHAT KEENAM :
Antara peraturan menjadi ahli parlimen, setiap ahli yang dipilih dikehendaki mengangkat sumpah dan menyatakan taat setia kepada perlembagaan negara yang memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pembentukannya yang bercanggah dengan Islam. Bukankah seorang muslim ditegah bersumpah selain dengan nama Allah? Tidakkah menyatakan taat setia kepada undang-undang yang tidak Islamik merupakan antara perkara yang ditegah?
Kalau ada pihak yang mengatakan boleh bertaqiyyah dalam hal ini, maka ingatlah bahawa Imam Ahmad bin Hassan dengan tegasnya telah mengatakan : اذا سكت العالم تقبة والجاهل يجهل فمتي ينبي الحق
BIDASAN
Pertama : Penyertaan dalam parlimen boleh mendatanagkan masalah yang besar dan menolak mafsadah yang banyak. Kalau pun ia menuntut seorang APM mengangkat sumpah dan menyatakan taat setia kepada perlembagaan rukun negara, maka pada ketika itu menurut perspektif sebuah siasah syariah ia adalah dibolehkan kalau keadaan memaksa. Situasi ini hanya berlaku dengan andaian setiap ahli parlimen wajib mengangkat sumpah setiap kali sidang parlimen yang pertama. Akan tetapi tidak semua parlimen di negara-negara demokrasi mensyaratkan demikian. Contoh negara yang tidak mewajibkan ahli parlimennya mengangkat sumpah adalah Lubnan dan Malaysia. Hanya menteri pusat dan exco kerajaan negeri sahaja yang dikehendaki mengangkat sumpah di hadapan Agung atau sultan setelah dilantik secara rasmi dengan membaca teks ikrar / sumpah yang tidak bercanggah dengan syara’.
Kedua : Pada pandangan penulis, kalaupun berlakunya majlis mengangkat sumpah bagi setiap ahli parlimen, ia hanya bersifat prosedur rasmi semata-mata, maka seorang ATM ketika ‘mengangkat sumpah’ boleh beriktikad sekadar menjalankan prosedur yang ditentukan oleh undang-undang manusia sedangkan hatinya tidak mengiktikadkan undang-undang manusia karana dia hanya yakin kepada undang-undang Allah sahaja.
Walaupun ulama Syafi'iyyah dan Hanafiah menyatakan bahawa sumpah dibina / dirujuk atas lafaz (الاءيمان مبنية على الألفاظ ) tetapi ulamak Malikiyyah dan Hanabilah pula berpendapat bahawa sumpah dirujuk kepada niat / tujuan (الا ءيمان مبنية على النيات )
{ rujukالقواعد الفقهية للدكتور عبد العزيز عزام m.s : 106} memandangkan perkara ini adalah masalah khilafiah, maka tidak salah kalau kita memilih mana-mana pendapat yang diterima pakai.
Ketiga : Adapun teguran Imam Ahmad bin Hanbal (IAB) bahawa orang alim tidak sepatutnya mengambil sikap bertaqiyyah, kes ini perlu dilihat secara kritis dan mendalam akan sebab larangan itu iaitu :
Kalau kita merujuk kepada sejarah, faktor yang mendororng IAB mengungkapkan kata-katanya yang masyur itu adalah kerana berlakunya isu .خلق القرأنPada ketika itu, hampir kesemua ulamak yang tidak beraliran muktazilah mengambil sikap bertaqiyyah untuk menyelamatkan diri. Akan tetapi IAB mengambil sikap berterus terang mempertahankan قديم القرأن kerana beliau tahu, jika beliau turut bertaqiyyah maka pilihannya itu akan membawa kepada kesesatan umat. Ini memamandangkan kedudukan beliau sebagai ulamak yang muktabar dan dipercayai oleh masyarakat. Maka pendirian IAB pada ketika itu memang tepat bahkan wajib ke atasnya berbuat demikian demi menyelamatkan aqidah umat.
Berbeza pula dengan ‘taqiyyah ‘ (kalau nak dikatakan taqiyyah) yang dilakukan oleh APM ketika mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Ianya tidak membawa kesan aqidah kepada umat bahkan dia sendiri berpeluang untuk mengatakan kepada rakyat bahawa hanya undang-undang Allah yang wajib didaulatkan dan undang-undang selainnya wajib ditolak. Bukankah tujuan awalnya bertanding menjadi ahli parlimen adalah untuk mendaulatkan undang-undang Alllah sahaja.
SYUBHAT 7:
Di dalam pilihan raya calon yang bertanding dikehendaki membayar wang pertaruhan. Wang pertaruhan ini adalah berunsurkan judi dan Islam mengharamkannya dengan nas qat’ie. Maka tidak sepatutnya seorang muslim melibatkan diri dengan judi yang ditegah oleh Allah.
BIDASAN :
Takrif judi dalam Islam ialah sebarang perbuatan yang bertujuan memperolehi keuntungan, tanpa usaha yang selayaknya dan akan menyebabkan kerugian pada satu pihak ( m.s. 40 : 7/8 ( التفسير المنير : جزؤ
Di sana terdapat 3 aspek yang menunjukkan wang pertaruhan di dalam pilihan raya tidak termasuk dalam takrif judi menurut perspektif Islam iaitu :
i. Dalam pilihan raya walaupun pertaruhan dibayar tetapi usaha mesti dilakukan untuk memenanginya seperti berkempen, merayu undi, tampal poster dan lain-lain, sedangkan berjudi hanya bertaruh dan menunggu nasib sama ada menang atau kalah.
ii. Dalam pilihan raya, jika calon yang bertanding mendapat undi 1/8 atau lebih daripada jumlah pengundi setempat, maka wang pertaruhan akan dikembalikan walaupun dia kalah. Dalam judi pula tidak peluang untuk pihak yang kalah mendapat kembali wang pertaruhannya.
iii. Calon yang tidak mendapat 1/8 undi dalam pilihan raya akan hilang wang pertaruhan tetapi ianya tidak pula diberikan kepada calon yang menang. Sebaliknya SPR yang akan mengambilnya. Maka pihak yang kalah dalam judi pula terpaksa menyerahkan wang pertaruhannya kepada pihak yang menang.
*(kadar capaian undi untuk mendapatkan semula wang pertaruhan boleh berubah menurut peraturan yang ditetapkan oleh SPR)
Jadi jelaslah bahawa pertaruhan yang berlaku dalam pilihan raya tidak termasuk dalam takrif judi mengikut pandangan syara’
HARAKAH ISLAMIYAH YANG MEMILIH PILIHAN RAYA SEBAGAI ANTARA WASILAH MENEGAKKAN DAULAH ISLAMIYYAH.
1. Ikhwan Muslimin di Mesir, tetapi mereka tidak bertanding atas nama pertubuhan mereka sebaliknya menggunakan platform Parti Buruh kerana maslahat tertentu.
2. Ikhwan Muslimin di Jordan.
3. Parti Refah di Turki.
4. Jamiah Islamiah di Pakistan.
5. FIS di Algeria
6. Parti Islam Se-Malaysia.
7. Masyumi di Indonesia
PENDIRIAN ULAMAK SEMASA TENTANG PILIHAN RAYA.
Berkata As-Syeikh Abdul ‘Ala Al-Maududi, Amir Jamiat Islami di Pakistan ;
Untuk merealisasikan perubahan dalam konteks negara republik, maka tidak ada cara lain kecuali melalui pilihan raya. Malalui wasilah ini kita dapat membentuk arus perdana umat dan menukar cara berfikir mereka kepada Islam supaya mereka mngenali calon-calon yang mendokong risalah Islam. Pada masa yang sama kita perlu mengislahkan wasilah ini dan menyucikannya daripada sebarang bentuk penyelewengan dan tipu daya.
Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pula telah menyebutkannya dalam risalahnya mengenai sistem kenegaraaan dalam Islam : “Sesungguhnya kita telah menerima sistem berparlimen di barat dan sehingga kini kerajaan kita masih bernaung di bawahnya. Sistem ini menuntut para pemerintah dan rakyat sama-sama bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Walaubagaimanapun sistem ini tidak bercanggah dengan konsep negara Islam. مجموعة رسائل الامام الشاهيد حسن البنا من رسالة نظام الحكم))
Difahami daripada kalam As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, sistem parlimen adalah semata-mata wasilah yang perlu diislahkan supaya dapat digunakan untuk menuju kepada pemerintahan Islam. Sebab itulah beliau sendiri telah mencalonkan diri untuk menjadi ahli parlimen sebanyak 2 kali tetapi malangnya konspirasi mustakrimin tidak memberi jalan kepadanya.
As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Mufti kerajaan Arab Saudi ketika ditanya tentang bolehkah mencalonkan diri untuk menjadi ahli parlimen dan apakah pandangan Islam tentang pemaparan pasta-pasta calon dengan tujuan untuk berkempen supaya menjadi calon-calon yang beragama, beliau menjawab : Bahawa nabi s.a.w. telah bersabda :{Sesungguhnya setiap amal adalah berdasarkan niat, dan setiap orang akan dibalas mengikut niatnya .} Oleh itu tiada halangan untuk menyertai parlimen dengan tujuan mendokong kebenaran dan menghancurkan kebatilan. Ini adalah kerana perkara tersebut membawa kepada tertegaknya kebenaran dan memantapkan gabungan para pendakwah yang menyeru kepada Allah. Begitulah juga tidak salah mempamerkan pesta-pesta calon yang memang bermatlamat menegakkan kebenaran : (مجلة لوأ الاسلام ملف الانتخابات العدد الثالث ذوالقاعدة 1309 م )
Adapun Dr Yusuf Al Qardawi menekankan keharusan menjadi ahli parlimen dan terlibat dengan sistem demokrasi katanya : Dalam konteks merealisasikan wasilah politik semasa datang berterusan dan berkembang mengikut iklim dan suasana setempat, maka dibolehkan untuk menggunakan mana-mana wasilah sama ada berbentuk perkumpulan, pengajian, kerjasama dan lain-lain yang boleh membawa kepada kemaslahatan dan ketinggian Islam dan umatnya.
Pada bahagian yang lain pula Dr Yusuf Qardawi mengatakan : “Saya sangat terkejut apabila membaca surat yang ditulis oleh golongan yang bersemangat yang mengatakan : Penyertaan dalam parlimen adalah bercanggah dengan konsep tauhid.”
Sebenarnya ini merupakan kesilapan yang nyata kerana mereka memasukkan/ menyamakan masalah amal dengan masalah aqidah. Sedangkan persoalan amal berlingkar antara benar atau salah dan bukannya antara Iman dan kufur. Ia adalah termasuk dalam siasah syariah yang mana mujtahid-mujtahid yang betul dalam ijtihadnya akan diganjari dengan 2 pahala, dan sekiranya salah akan memperolehi satu pahala ( من فقه الدولة في الاسلام : للدكتور يوسف القرضوى)
Syeikh Mana’ Al-Quthan ( مناع الفطان ) pula dalam kitabnya ( معوقاط تطبيق الشريعة الاسلامية) telah mempertahankan tindakan harakah Islamiah yang menyertai pilihan raya dan dalam masa yang sama mengkritik golongan yang menyatakan penglibatan dalam parlimen boleh mambawa kepada kekufuran dengan katanya : Penyertaan sebagai ahli parlimen bukanlah persekongkolan dengan golongan yang tidak melaksanakan undang-undang Allah selagi mana APM itu menzahirkan penentangannya dan berusaha pula menzahirkan hukum Islam dengan keimanan dan keberanian………semuanya ini tidaklah menjejaskan aqidah.)
Seorang ulamak, Al-Mustasyar Salim Al-Bahansawi telah menolak pandangan Al-Ustaz Mohamad Qutb dengan katanya : Syeikh Mohamad Qutb menyangka penyertaan dalam parlimen membawa kepada pengabaian, menjatuhkan kredebiliti golongan Islam dan menghilangkan personaliti mereka di mata umum kerana sepatutnya mereka tidak bersekongkol dengan sistem jahiliyah. Sebenarnya pandangan ini adalah berasaskan wujudnya kerjasama dengan golongan yang zalim, sedangkan perkara tersebut tidak berlaku dan umum memakluminya. Berkenaan pengabaian tuntutan Islam, sebenarnya ia akan terjadi sekiranya golongan Islam menarik diri daripada menyertai parlimen dan inilah yang diusahakan oleh musuh-musuh Islam. Mereka ini sangat takut jika golongan Islam mendapat tempat di parlimen kerana ia membawa kepada pembongkaran kenifaqan dan kejahilan mereka.
Yang terakhir penulis suka merakamkan pandangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam masalah ini. Kata beliau “memandangkan sistem demokrasi barat diterima pakai di Malaysia, di mana setiap lima tahun pilihan raya umum akan dijalankan untuk rakyat memilih kerajaan pilihan mereka, maka PAS telah memilih untuk menyertai pilihan raya atas dasar ‘muwajahah silmiah’. Pilihan raya merupakan satu wasilah untuk menegakkan pemerintahan Islam sekaligus menyeru umat Islam merealisasikannya. Ia juga merupakan penunaian konsep ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ dengan jalan seafdhal-afdhal jihad iaitu ‘perkataan yang benar di hadapan pemerintahan yang zalim’-(Hadith). Walaupun ada golongan yang tidak memahami hakikat wasilah ini dan ada juga yang menolaknya kerana kecetekan pemahaman mereka, tetapi PAS berpandangan ianya merupakan pendekatan terbaik seperti mana juga yang telah dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Memandangkan tiadanya nas-nas sorih yang memerintah atau menegahnya, maka persoalannya adalah masalah ijtihadiah yang mengambil kira suasana politik setempat. Sesungguhnya perdamaian di sisi Allah dan rasulnya adalah lebih utama daripada peperangan dan keganasan. ( الصراع بين الاسلام والعلمنية فى مالزيا )
KESIMPULAN :
Setelah kita meneliti dalil-dalil, syubhat dan penolakan serta pandangan ulamak semasa tentang pilihan raya dan menyertai parlimen, maka jelaslah bahawa Islam membenarkan pendekatan ini untuk kita merealisasikan tertegaknya pemerintahan Islam. Bahkan dalam situasi tertentu ianya menjadi wajib seperti mana dalam konteks Malaysia dan Lubnan. Walau bagaimanapun perlu ditegaskan kita tidak beriman dengan sistem demokrasi tetapi kita memilih pendekatan ini setelah mempertimbangkan semasak-masaknya maslahah, mafsadah yang bakal diperolehi.
PENUTUP:
Penulis memohon keampunan daripada Allah s.w.t. sekiranya ada kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam tulisan ini sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Penulis juga amat berharap agar pembaca dapat memberi teguran dan membetulkan kesilapan-kesilapan sekiranya lahir demi menuju keredhoaan Allah s.w.t. Semoga Allah menerima amalan kita semua dan sesungguhnya Allahlah yang memberi taufik dan hidayah
http://www.facebook.com/notes/mohd-yusof-hadhari/pilihan-raya-dan-keizinan-syara/459338998392
No comments:
Post a Comment