Followers

Monday, June 6, 2011

Awasi Islamic Fashion Show

'Islamic Fashion Show' telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakwan Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.

Namun pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, feysen yang ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar yang tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan adalah 'clear cut' bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama 'Islamic'. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan Islam.

Kita menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama ‘Islam’ bagi perniagaan dan program mereka.


Cuba bandingkan :-
Kita melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama sedunia agar apa yang ditawar benar-benar secocock dengan kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama ‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan kewangan mereka.
Kita juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.
Malah penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
Sesebuah unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada yang menyeleweng.
Organisasi politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi negeri-negeri.
Penceramah-penceramah yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.
Namun, dalam kes pertunjukkan fesyen ini, penganjur dengan sewenangnya tanpa sebarang pengiktirafan dari pihak berkuasa agama dan para ulama untuk menggunakan nama Islam. Ini jelas satu tindakan yang tidak selari dengan semua item yang disebut di atas.

Pihak penganjur perlu sedar menggunakan label ’Islam’ untuk fashion show mereka adalah tindakan offensive atau menyerang kepada kesucian Islam dan menyakitkan perasaan umat Islam.

Tindakan itu sekaligus menyelewengkan ajaran Islam berkaitan pakaian. Penganjur dan semua fashion designer beragama Islam yang terlibat sebelum ini, ingin saya nasihatkan, wajiblah kalian menghentikan penyertaan dalam pertunjukan terbabit di masa akan datang. Ia berdasarkan firman Allah :-
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Ertinya : Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ( An-Nisa : 140)

Jelas, ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap membantu menaikkan lagi sesuatu maksiat. Maka, kehadiran dan penyertaan ke majlis tersebut adalah ditegah oleh Allah.

ENGKAR SENDIRIAN & PROMOSI

Saya pasti, akan ada individu yang mencemik bibir dan ‘meluat’ membaca sebarang saranan seperti ini, kononnya ia menyekat sifat keterbukaan dan ‘close minded’. Ingin ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum hakam berkaitan aurat, menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno serta lebih suka menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu kekal di peringkat peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di alam barzakh dan akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang lain turut menjadi sepertinya.

Apabila itu dilakukan malah di’organisasi’kan, ia telah memasukkannya ke dalam satu sifat dan dosa yang lebih berat. Dari hanya dosa, kepada sifat dan ciri laku kaum munafiq yang mana sifat kumpulan munafiq ini suka merosakkan Islam melalui kata-kata dan tindakan. Namun modus operandinya dilakukan dengan menggunapakai label Islam.

Contoh jelas sifat ini boleh dilihat di dalam firman Allah berkaitan penubuhan Masjid Dhirar. Ia adalah
adalah nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir dialu-alukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid tersebut. Firman Allah swt :-

وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Ertinya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat : 107)

Allah sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.

Dari tindakan Rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Justeru, majlis pertunjukan fesyen ini adalah persis masjid dhirar, digunakan nama dan label Islam tetapi mengkehendaki kemaksiatan dan kemudaratan kepada Islam. Sama ada dengan sengaja atau tidak akibat dari kejahilan perihal hukum.

Justeru, kepada penganjur, sponsor, fashion designer dan jemputan, dari sepatutnya hanya terhad satu dosa, jangan sesekali menggandakannya kepada ribuan dan jutaan. Penganjuran fashion show yang dilabel dengan nama Islam seperti ini, sesungguhnya amat merosakkan imej sebenar Islam.

PERTUNJUKAN MELAMPAUI BATAS

Islamic Fashion Show, khususnya yang dianjurkan pada tahun 2010 ini, bukan sahaja melampaui batasan penutupan aurat yang diajarkan oleh Nabi. Malah ia juga bercanggah dengan kefahaman sebahagian pendokong ajaran Islam liberal itu sendiri. Saya tidak perlu menyertakan gambarnya di sini kerana semuanya telah berteraburan dan didapati dengan mudah di media dan internet.

Sebagaimana kita faham, sebahagian pendokong Islam liberal tidak meyakini rambut wanita sebagai aurat, justeru hampir semua mereka sama ada tidak bertudung langsung atau bertudung secara tidak sempurna.

Namun apa yang dipersembahkan di Islamic fashion show itu telah lebih jauh melampaui kefahaman kumpulan itu apabila ia bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara terangan dan menamakannya sebagai Islam.

Menurut hemat saya tiada pandangan dari mana-mana mazhab Islam yang boleh diguna pakai untuk menghalalkan tindakan tersebut, semuanya pasti mengharamkannya, sama ada kumpulan Wahabi, Salafi, Ahli hadis, Khalafi, Ahbash, Pondok, Pesantren, Syiah, Zohiri, ahli Tasauf dan lainnya.

Saya bimbang selepas ini mereka menggunakan ayat Al-quran di seluar dalam dan bikini dan dipertontonkan kepada umum dinamakan dengan nama Islamic fashion show.!

Oleh itu fashion show ini bukan sahaja salah di sudut pandangan ulama Islam, malah juga salah pada pandangan kumpulan wanita Islam liberal.

Tidak sedarkah mereka, penganjuran seperti ini sebenarnya menjatuhkan maruah dan kedudukan tinggi wanita. Di manakah pejuang martabat wanita?. Adakah mereka layak dijadikan bahan tontonan lelaki dengan pakaian pelik atas nama fesyen.

Sukakah mereka, penonton lelaki ibarat raja yang dihidangkan pemandangan hamba-hamba wanita dengan pelbagai pakaian, mendedahkan kecantikan masing-masing?.

Lebih pelik, dimanakah isteri-isteri kepada suami yang menghadiri pertunjukan itu. Adakah dia bahagia apabila suaminya hadir dan membandingkan tubuhnya dengan tubuh ramping para model wanita yang tiada malu itu?.

Kalau kita merasa benci dan marah apabila pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalaui kartunnya
Ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya,

Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya,

Salman Rushdi menghina Nabi melalui tulisannya,

Kini tindakan menganjur, menjaya dan menyertai pertunjukan fesyen ini juga adalah sama kategorinya. Semuanya adalah sangat ‘menyerang’ kesucian Allah, Nabi dan Islam, menyelewengkan manusia dari Islam sebenar dan secara sedar atau tidak, menghina Islam.

MENGAPA BARU SEKARANG?

Ada yang bertanya, mengapa sekarang baru bising-bising sedangkan program ini telah berlangsung tahun 2009 bertempat di sebuah hotel di ibu kota, manakala pada bulan Ogos 2010 yang lalu pula dilangsungkan di Monte Carlo, Monaco.

Jawapnya, yang salah tetap perlu ditegur jika disedari, tidak kira sama ada lewat atau cepat. Ia perlu agar ia tidak diulangi pada masa akan datang. Khususnya apabila founder dan pengerusi Islamic Fashion Festival ini adalah seorang lelaki yang saya rasa beragama Islam dari Malaysia. (Baca sini)

Melihat ia sudah hampir dijadikan upacara tahunan dan pertunjukannya pada tahun 2010 yang lalu menampilkan fesyen yang semakin melampau (berbanding sewaktu festival 24 November 2009). Umat Islam yang prihatin, perlu menyuarakan bantahan ini juga agar penganjur membatalkan road show festival ini atau paling tidak, mengugurkan nama ‘Islam’ pada festival mereka.

Menurut jadualnya ia akan dilaksanakan lagi tahun hadapan di Turki pada 10 februari 2011.

Kita berharap akan ada individu dan pimpinan prihatin yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Turki dapat berbuat sesuatu, sebelum Islam dihina sekali lagi oleh penganutnya, disorak sorai oleh musuh-musuh Islam seluruh dunia. Tidak perlu lagi nama nabi Muhammad dan Islam dibusukkan oleh musuh Islam di Denmark atau Belanda, Amerika, Israel dan lainnya. Kini hanya perlukan orang Islam sendiri.

JANGAN SAMPAI MALAYSIA DITUDUH MENGHINA ISLAM

Kita tidak mahu akan sampai satu ketika umat Islam seluruh dunia berdemonstarsi di jalan dan kedutaan Malaysia kerana alasan menghina Islam. Sebagaimana demonstrasi besar-besaran dilakukan kepada kerajaan Denmark dan Belanda suatu ketika dahulu. Jika itu berlaku, imej Malaysia pasti tercalar dengan hebatnya.

Jika ingin diteruskan, mereka mestilah melantik beberapa orang mufti atu cendiakwan Islam sebagai pemantau kepada semua design yang ingin dipamerkan. Jika tiada seorang mufti dan cendikiawan Islam pun yang sudi untuk menjadi pemantau dek kerana semuanya membantah dan menolak, maka tiadalah kelulusan untuk menggunakan nama ‘Islam’ pada pertunjukan fesyen itu.

Kerana itu, semua cendiakwan dan ilmuan Islam, khususnya pihak yang memegangkan tampuk kuasa agama adalah bertanggungjawab untuk menasihatkan sama ada secara sulit atau terbuka, menurut kadar kemampuan mereka.

Saya sedar, apabila isu ini dikaitkan dengan politik, sebarang teguran akan dilihat teguran politik. Hasilnya ia sukar diterima walaupun BENAR. Ia juga akan dipandang berat sebelah oleh segolongan orang, sebab itu saya kira tidak perlu bertubi-tubi mengaitkannya dengan politik kepartian.

Ia adalah hasil sebuah kejahilan global, merentasi politik kepartian dan mesti dibetulkan secara amanah oleh ulama Islam secara global dan tidak tertumpu kepada menyalahkan mana-mana parti politik secara khusus. wallahu'alam.

Sebarang caci maki politik kepartian tidak dialukan di sini. Hanya komentar berdasar hukum & sensitiviti agama sahaja. Please.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

22 Oktober 2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...