Sayup-sayup kedengaran di luar sana. Kalau mahasiswa di Malaysia sibuk dengan pelbagai aktiviti. Ada yang sibuk bercuti dengan sahabat-sahabat, ada yang menziarahi sanak saudara, tidak kurang ada yang berprogram bersama kawan-kawan. Bercuti serata dunia.
Bagi yang ada kesedaran, ada yang mengikuti program ‘short sem’ di pondok-pondok bertiangkan kayu jati bagi memperkukuhkan ilmu agama. Tidak rasa rugi dengan sedikit bayaran yang di kenakan. Sememangnya pondok-pondok di Malaysia sekarang sudah banyak upgrade dari segi sistemnya. Mereka mengetahui mahasiswa-mahasiswa perlukan mereka di kala cuti semester berlangsung.
Manakala bagi pelajar timur tengah mungkin sebahagiannya masih dalam peperangan exam yang belum selesai. Semoga Allah permudahkan semuanya.
Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak
Di hujung tahun sebegini sememangnya para ‘bujang senang’ mahupun ‘bujang belum terlajak’ mengambil kesempatan untuk mengadakan hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.
Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu. Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.
Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab. Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada masa akan datang.
Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi bualan.
“Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k.”
“Anak Pak Seman pulak RM1k je, murah kan. Tak patut betul ustaz tu.”
“Anak saya kahwin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali minta diskaun.”
Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang. Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.
Anak Aku Paling Mahal
“Anak aku la paling ‘mahal’ setakat ni dalam kampung kita,” dengan penuh bongkak dan takabur berbicara, tanpa menyedari hakikat mahar yang disyariatkan.
Masyarakat menjadikan Islam itu semakin sukar untuk diamalkan. Menyukarkan untuk melaksanakan tuntutan Islam sekali gus membuka pintu maksiat yang dilakukan oleh pasangan kerana sukar untuk berkahwin. Inilah barah yang kian melanda dewasa ini.
“Mak tak payah la letak mahal-mahal sangat, dia bukan keje tetap lagi,” kata Lina.
“Hang gila ke apa? Aku bagi hang belajaq sampai Master, hang nak bagi kat dia RM2k aje? Baik hang cari orang lain yang lebih kaya kalau macam tu,” balas Mak Andak pada Lina.
Anak hanya menunduk diam. Tidak berani membantah cakap ibu. Dikhuatiri akan menderhaka. Kadang-kadang si anak memahami apa yang dikehendaki dengan perkahwinan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa.
Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja, mas kawin mahupun mahar. Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.
Martabat Wanita Di Sisi Agama
Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka duka bersama hingga ke akhir hayat.
Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.
Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan menyukarkan pihak lelaki.
Suami Akan Lakukan Yang Terbaik
Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda. Pemberian yang lahir dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan kebahagian dalam sesebuah keluarga.
Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya, inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.
Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.
“Aku bayar sampai RM11k, ingatkan serba boleh. Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai, masak kari pun masin dan bla bla bla….”
Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.
Pesan Rasulullah s.a.w
Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana Nabi menyebut,
“Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya.”
“Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan maharnya.”
“Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.”
“Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi.”
Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai masalah yang lain. Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat seseorang wanita. Ini salah sama sekali.
Artikel oleh: Ustaz Muhammad Isa
No comments:
Post a Comment