Followers

Friday, June 3, 2011

Menyerang Kepimpinan Melumpuhkan Dakwah


alt

Dakwah merupakan kekuatan besar melawan kezaliman, justeru musuh Islam akan mengerahkan segala tenaga, kekuatan dan kemampuan untuk meleburkan dakwah Islamiah malah sanggup sampai ke tahap membunuh para pendakwah itu sendiri.

Bagi mereka fahaman Michaevelli "matlamat menghalalkan cara" dipergunakan sepenuhnya bagi mengekang dan mematikan usaha dakwah menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dengan apa cara sekalipun.

Cara paling berbahaya yang digunakan oleh musuh yang licik adalah usaha menimbulkan perpecahan dalaman di dalam sesebuah organisasi dakwah, kerana kekuatan dakwah akan menjadi lemah akibat pergolakan dan perpecahan dalaman disebabkan perbezaan fikrah dan metodologi.

Menimbulkan perpecahan dalaman merupakan teknik yang paling efektif dengan cara menghilangkan thiqah (kepercayaan dan keyakinan) antara ahli jamaah dan pimpinan.

Apabila ahli jamaah sudah tidak memiliki sikap thiqah pada kepemimpinan sesebuah jamaah Islam, maka 'ketaatan (wala')' akan segera hilang dari jiwa mereka. Bila ketaatan sudah hilang, ia akan memusnahkan kemantapan sebuah jamaah.

Al-Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna yang telah menubuhkan Ikhwanul Muslimin menulis tentang 'thiqah' dalam Risalah At-Ta'alim dan menjadikannya sebagai salah satu rukun bai'ah.

Imam Asy-Syahid juga menjelaskan kepentingan rukun ini dalam menjaga perpaduan dan kesatuan jamaah, ia mengatakan:

"...Tidak ada dakwah tanpa kepemimpinan. Kadar thiqah yang timbal balik antara pemimpin dan yang dipimpin menjadi penentu sejauh mana kekuatan sistem jamaah, kemantapan langkah-langkahnya, keberhasilan dalam mewujudkan tujuan-tujuannya, dan kemampuannya dalam mengatasi berbagai tentangan dan kesulitan.

"Ta'at dan mengucapkan perkataan yang baik adalah lebih baik bagi mereka" (al-Qur'an, 47:21). Thiqah terhadap pimpinan merupakan segala-galanya bagi kejayaan dakwah."

Kita tidak mensyaratkan yang berhak mendapat thiqah adalah pemimpin yang berkemampuan sebagai orang yang paling kuat, paling bertakwa, paling mengerti dan paling fasih dalam berbicara kerana syarat seperti ini sangat sukar dipenuhi, bahkan hampir tidak tercapai sejak kewafatan Nabi SAW.

Syarat 'al-Quwwah wal amanah' dalam erti kata yang sebenarnya yang ada pada Nabi Yusuf AS dan Nabi Muhammad SAW sukar dicari.

Namun memadai sekiranya seorang pemimpin itu dianggap mampu oleh teman-temannya untuk membebani amanah kepemimpinan yang berat ini. Kemudian apabila ada seorang ikhwah (saudara) yang merasai dirinya atau mengetahui orang lain memiliki kemampuan dan bakat yang tidak dimiliki oleh pimpinannya, maka hendaklah ia menyumbang kemampuan dan bakat tersebut untuk dipergunakan oleh pimpinan, agar dapat membantu tugas-tugas kepemimpinannya bukannya menjadi pesaing bagi pimpinan dan jamaahnya.

Inilah nokhtah penting bagi mereka yang bersaing dalam mana-mana jawatan dalam jamaah Islam, manakala para perwakilan yang terlibat untuk memilih bakal-bakal pemimpin jamaahnya, memilih bakal pemimpin berdasarkan merit 'quwwah dan amanah' bukan disebabkan populariti.

Ingin saya mengimbau kepada dialog yang terjadi antara Abu Bakar RA dan Umar RA setelah kewafatan Nabi SAW.

Umar berkata kepada Abu Bakar, 'Hulurkanlah tanganmu, aku akan membai'ahmu.' Abu Bakar berkata, 'Akulah yang membai'ahmu.'

Umar berkata, 'Kamu lebih utama dariku.'

Abu Bakar berkata, 'Kamu lebih kuat dariku.'

Setelah itu Umar RA berkata, 'Kekuatanku kupersembahkan untukmu kerana keutamaanmu.'

Umar pun terbukti benar-benar menjadikan kekuatannya sebagai pendukung Abu Bakar sebagai khalifah.

MasyaAllah, hebatnya ukhuwah dan thiqah mereka antara satu sama lain.

Tatkala seseorang bertanya kepada Imam Al-Banna, 'Bagaimana bila suatu keadaan menghalangi kebersamaan anda dengan kami? Menurut anda siapakah orang yang akan kami angkat sebagai pemimpin kami?'

Imam Asy-Syahid menjawab, 'Wahai ikhwan, angkatlah pemimpin orang yang paling lemah di antara kamu. Kemudian dengarlah dan taatilah dia. Dengan (bantuan) kamu, ia akan menjadi orang yang paling kuat di antara kamu.'

Mungkin anda masih ingat perselisihan yang terjadi antara Abu Bakar dan Umar dalam menanggapi orang-orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Sebagian besar sahabat sependapat dengan Umar, iaitu tidak memerangi mereka. Meskipun demikian tatkala Umar mengetahui Abu Bakar berkeras untuk memerangi mereka, maka ia mengucapkan kata-katanya yang terkenal, yang menggambarkan kethiqahan yang sempurna, 'Demi Allah, tiada lain yang aku fahami kecuali Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk memerangi mereka, maka aku tahu dialah yang benar.'

Seandainya Umar RA tidak memiliki kethiqahan dan ketaatan yang sempurna, maka jiwanya akan dapat memperdayakannya, bahawa dialah pihak yang benar, apatah lagi dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

'Allah SWT telah menjadikan al-haq (kebenaran) pada lisan dan hati Umar.'

Alangkah amat perlunya bagi kita sebagai ahli jamaah Islam menyontohi sikap Umar RA tersebut, saat terjadi perbezaan pendapat di antara mereka, Umar RA tidak dipengaruhi oleh pengiktirafan Nabi SAW terhadapnya, malah memberikan ketaatan kepada Abu Bakar RA sepenuhnya.

Melihat kepada betapa pentingnya kethiqahan terhadap fikrah dan ketetapan pimpinan, maka musuh-musuh Islam berusaha sedaya upaya menimbulkan keraguan pada Islam, jamaah, manhaj jamaah, dan pimpinannya.

Betapa banyak serangan yang dilancarkan untuk melaksanakan misi tersebut. Oleh kerana itu, seorang ahli jamaah di semua peringkat, jangan sampai terpengaruh oleh serangan-serangan tersebut.

Ia harus yakin bahwa agamanya adalah agama yang haq yang diterima Allah SWT. Ia harus yakin bahawa Islam adalah manhaj yang sempurna bagi seluruh urusan dalam kehidupan dunia maupun akhirat.

Ia harus tetap thiqah bahawa jamaahnya berada di jalan yang benar dan sentiasa menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam setiap langkah dan urusannya.

Ia harus tetap thiqah bahawa pimpinannya selalu bercermin dan mencontohi langkah Rasulullah SAW serta para sahabatnya dan sentiasa tunduk kepada syariat Allah dalam menangani persoalan yang mendatang dalam perjalanan dan perjuangan serta bertindak demi kemaslahatan dakwah.

Ingin diingatkan surat kahbar atau media massa terutamanya yang didalangi oleh musuh dakwah menukil pembicaraan atau pendapat yang dilakukan pada pimpinan jamaah, dengan tujuan untuk menimbulkan keraguan, menggoncangkan kepercayaan, dan menciptakan ketidakstabilan di dalam jamaah Islam.

Oleh sebab itu, seorang ahli atau pemimpin jamaah Islam tidak diperbolehkan menyimpulkan suatu hukum berdasarkan apa yang dibaca dalam media massa, tidak boleh melunturkan thiqahnya dan tidak boleh menyebarkannya atas dasar membenarkannya. Ia harus melakukantabayyun (cross check) terlebih dahulu.

Allah SWT menegur segolongan orang yang melakukan kesalahan dengan firman-Nya,

"Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka serta merta menyebarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan ulil Amri). Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja di antaramu." (al-Qur'an, 4:83)

- Artikel iluvislam.com

Biodata Penulis

Ustaz Hashim Othman adalah seorang guru Al-Quran, pendakwah, imam dan perunding perbankan Islam, motivasi dan perniagaan dan juga agen sah umrah dan pelancongan. Penulis adalah mantan Ketua Korporat BIMB Institute of Research & Training, Ketua Pegawai Korporat Golden Pharos Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Halagel Malaysia. Beliau menulis di http://banihashim.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...