3- Syumul (Lengkap)
Maksud Syumul ialah bahawa syariat Islam yang suci mengandungi pelbagai peraturan, hukum-hakam dan perundangan pada setiap aspek penciptaan, pembinaan dan pengislahan, dalam setiap kelompok masyarakat dan kehidupan, sama ada berkaitan dengan ’aqidah, ibadah mahu pun akhlak atau berkaitan dengan pelbagai perundangan umum seperti masalah-masalah sivil, jenayah, peribadi, peraturan mansyarakat serta perhubungan antarabangsa atau berkaitan dengan asas hukum, kaedah-kaedah ekonomi atau dasar-dasar masyarakat.[1]
Semua perkara tersebut terperinci serta mantap dalam perundangan keTuhanan yang abadi. Sifatnya memberi bukannya mengambil, menyatupadadukan bukannya memecah-belahkan, menjinakkan bukannya mencerai-beraikan, membina bukannya menghancurkan. Ciri-ciri tersebut telah diturunkan oleh Allah Ta’ala Yang Maha Bijaksana lagi Yang Maha Terpuji kepada hambanya yang bernama Muhammad s.a.w. untuk sekalian alam dan untuk keselamatan dunia dan akhirat. Antara ayat al-Quran yang membuktikan bahawa syariat Islam merangkumi setiap perundangan kehidupan ialah:
Maksudnya: Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan Dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (Wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.[2]
Seterusnya saya akan menjelaskan masalah syumul (melengkapi) ini dengan memberikan beberapa contoh terutama yang berhubung dengan masalah-masalah sivil, ekonomi, perlembagaan, jenayah dan sebagainya.
- Dalam Masalah Harta
Dalam permasalahan ini, Allah Ta’ala menekankan pengagihan harta tidak kira dalam apa jua permasalahan hendaklah berlaku secara adil dan saksama. Antara ayat dalam al-Quran yang menyebut supaya berlaku adil dalam masalah harta ialah:
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya Dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang Yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu Dengan jelas). dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.[3]
- Dalam Masalah Perlembagaan
Allah berfirman:
Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang Yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang Dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa Yang Kami beri kepadanya.[4]
- Dalam Masalah Penghakiman
Allah Ta’ala berfirman:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu..[5]
- Dalam Masalah Pembalasan Jenayah
Allah berfirman dalam al-Quran:
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan Yang seimbang) Dalam perkara orang-orang Yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka Dengan orang merdeka,[6]
- Dalam Persediaan Peperangan
Al-Quran menyebut:
Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan Yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda Yang lengkap sedia, untuk menggerunkan Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka Yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. dan apa sahaja Yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.[7]
- Dalam Hubungan Antarabangsa
Allah berfirman:
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
- Dalam Masalah Perundangan
Allah Ta'ala Berfirman:
4- Seimbang Antara Meterialistik Dan Kerohanian
Antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya yang tidak memisahkan antara metarial dengan kerohanian dan antara dunia dengan akhirat. Malah Islam dengan melihatnya dalam satu kesatuan yang saling melengkapi antara hak manusia terhadap Tuhannya, diri sendiri dan terhadap orang lain. Dengan demikian, seseorang itu dapat menjalani kehidupan seharian dengan bergantung kepada kemampuan serta keinginan berdasarkan kepada asas yang ditetapkan oleh Islam yang bersesuaian dan bertepatan dengan fitrah dan rialiti kehidupan.
Syariat Islam yang lengkap tidak mensyariatkan sesuatu tegahan secara mutlak, umpamanya menjalani kehidupan seperti paderi atau memencilkan diri dari masyarakat. Dalam waktu yang sama, Islam tidak mengizinkan manusia tenggelam dalam kehidupan meterialistik dan melupakan Tuhannya serta kehidupan akhirat. Bahkan seseorang itu hendaklah seimbang dalam setiap perkara, menunaikan hak-hak Allah, hak dirinya dan hak orang lain tanpa mengabaikan mana-mana satu kewajipan dengan hanya melakukan kewajipan yang lain.[9]
Di dalam kitab suci al-Quran, Allah menyeru hambanya supaya menuju ke arah perseimbangan antara kebendaan dan kerohanian dalam ayat-ayat yang menyentuh perasaan serta hati sebelum membicarakan tentang akal manusia. Dalam peringatan tentang kewajipan melaksanakan hak Allah untuk beribadah ketika tenggelam dalam kemelut pekerjaan duniawi dan tuntutan perniagaan, Allah berfirman:
Maksudnya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang Yang kuat imannya Yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.[10]
Dalam peringatanNya tentang perlunya manunaikan hak jiwa untuk berusaha dan mencari rezeki ketika tenggelam dalam keasyikan bermunajat kepada Tuhan dan keharuman tempat beribadah, Allah S.W.T. berfirman:[11]
Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).[12]
Antara dasar yang digariskan oleh al-Quran terhadap perseimbangan ini ialah:[13]
a. Mencari kehidupan akhirat dan di samping mengambil bahagian keduaniaan. Allah berfirman:
Maksudnya: "Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".[14]
b. Menempelak orang yang tidak mahu menggunakan perhiasan dan perkara-perkara yang baik. Allah berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui.[15]
Demikianlah anjuran Islam supaya manusia dapat memperimbangkan antara agama dengan kebendaan, dunia dengan akhirat. Jika diamati sikap Rasulullah s.a.w. ketika melakukan perseimbangan, menyelesaikan konsep mengasingkan diri, menyembunyikan diri dan tidak ingin kepada dunia, kita berkeyakinan bahawa sikap tersebut sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan tidak bertentangan dengan keinginan nafsu. Bahkan ia sesuai dengan kaedah yang telah digariskan oleh Islam sebagai satu perjalanan semulajadi yang seimbang serta sederhana.[16]
Antara contoh dari hadis tentang pendirian ini, dapat dipetik dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Anas:
Maksudnya:
“Tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang ibadah Baginda s.a.w.. Bila mereka diberitahu, seolah-olah mereka menganggap ibadah itu sedikit, lantas mereka berkata, di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Nabi s.a.w. Baginda telah diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu dan akan datang. Salah seorang dari mereka berkata, “Mengenai aku, aku akan mengerjakan sembahyang malam selama-lamanya.” Lelaki kedua berkata, “Aku akan berpuasa selama-lamanya dan tidak berbuka.” Lelaki ketiga pula berkata, “aku akan mengasingkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Kemudian Rasulullah s.a.w. datang berjumpa mereka seraya bertanya, “Kamukah yang berkata begini begini? Demi Allah! Aku adalah orang yang paling takut dan bertaqwa kepada Allah, tatapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang dan tidur serta aku berkahwin. Sesiapa sahaja yang tidak suka sunnahku, orang itu tidak masuk dalam golongan aku.”[17]
Melalui hadis Rasulullah s.a.w. tersebut merupakan bukti yang jelas dan kukuh untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah, seimbang, bersifat pertengahan dan sederhana. Islam meletakkan beberapa asas kukuh serta dasar yang wujud untuk membina kesempurnaan peribadi manusia agar mereka bangkit bersama-sama risalah dan tugasnya dalam menjalani kehidupan berlandaskan kaedah paling sempurna yang telah ditetapkan oleh syariat Islam yang agung ini.
[1] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 11
[2] Surah al-Nahl 16:89
[3] Surah al-Baqarah, 2:282
[4] Surah al-Syura 42:38
[5] Surah al-Nisa’ 4:58
[6] Surah al-Baqarah 2:178
[7] Surah al-Anfal 8:60
[8] Surah al-Baqarah 2:282
[9] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 23
[10] Surah al-Nur 24:37
[11] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 23-24
[12] Surah al-Jumu’ah 62:10
[13] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 24
[14] Surah al-Qasas 28:77
[15] Surah al-A’raf 7:32
[16] Abdullah Nasih Ulwan (2001), Syariah Islam, Ciri-Ciri Dan Keunggulan, Selangor: Intel Multimedia And Pulication. Hal. 25
[17] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas
No comments:
Post a Comment