Followers

Saturday, June 11, 2011

Misteri manusia boleh lihat bunian

Umat Islam tak digalak berkawan dengan makhluk ghaib kerana tidak diketahui beriman atau kafir.

Di sebalik dunia nyata yang kita tempuhi, ada kehidupan sama seperti manusia tetapi terselindung dan tidak dapat disingkap pancaindera biasa.

Penduduk alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat seperti bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan fizikal seperti manusia.

Penghuni dunia itu juga hidup bermasyarakat, mendirikan rumah dan penempatan sama seperti kita malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kenderaan sama seperti manusia.

“Apa yang membezakan orang bunian dengan manusia ialah jika berpakaian, semuanya mesti satu warna. Dari baju ke seluar sama warna,” kata Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah di Kuang, Selangor; Dr Jahid Sidik.

Dr Jahid yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, selain warna pakaian; berdasarkan pengalaman dan kes yang dirujuk kepadanya, semua aktiviti bunian sama seperti manusia.

“Cuma manusia tidak nampak mereka. Dalam al-Quran juga menyatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan bunian kerana mereka tidak memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu air, api, tanah dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api dan angin (menyebabkan mereka tidak berjasad),” katanya.

Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam perubatan Islam berkata, sehingga kini ada dua teori dikemukakan mengenai kewujudan dan asal usul orang bunian.

“Mengikut cerita orang lama termasuk guru saya; asal bunian ialah apabila manusia berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada perbincangan mengenai perkahwinan antara manusia dan jin.

“Berdasarkan pengalaman yang dirujuk kepada saya, membuktikan perkahwinan antara jin dan manusia memang berlaku dalam kehidupan ini,” katanya yang turut menjelaskan bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian memiliki rupa dan budaya seperti manusia tetapi memiliki unsur api dan angin menyamai jin.

Satu teori lain mengenai kewujudan bunian adalah mereka pada asalnya manusia alim dan soleh, taat kepada perintah Allah tetapi akibat sebab tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan.

“Akibat malu berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada Allah supaya kewujudan mereka tidak dilihat manusia. Ada versi mengatakan kejadian ini berlaku pada zaman Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku sebelum zaman Rasulullah serta pada zaman Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, manusia biasa tidak dapat melihat bunian atau jin tetapi keadaan itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan tertentu, dengan izin Allah. Antaranya apabila ada jin atau bunian yang menumpang dalam badannya tanpa disedari individu itu.

“Ada orang berkata, bayi dapat melihat bunian atau jin kerana mereka masih suci. Itu tidak benar, sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib itu kerana bunian atau jin menumpang di badannya.

“Ada satu kes seorang bapa mendakwa anak kecilnya istimewa (psikik) kerana dapat melihat benda ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati dalam badannya ada jin dan selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu kembali normal,” katanya.

Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu menzahirkan jasadnya dan kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikalnya berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia juga boleh melihat bunian jika mereka mempelajari ilmu tertentu.

Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.

“Satu kes di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke hutan mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika hari hampir malam.

“Operasi mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap tidak dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu sudah meninggal dunia akibat dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan pemuda itu semakin kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga.

“Tiba-tiba, kira-kira lebih setahun selepas kehilangannya, pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa bersama seorang anak dan isteri,” katanya.

Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat dalam hutan dan apabila menjelang malam, ketika mencari jalan keluar, dia terjumpa sebuah rumah.

Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin pulang tetapi disuruh pemilik rumah tinggal bersama mereka dan berkahwin dengan anak perempuannya.

Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada ingin terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih kekal bersama anak dan isterinya di alam bunian.

Kes kedua diceritakan Dr Jahid berlaku pada tahun-tahun terakhir jemaah haji menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin, ditempatkan tiga lelaki dan selepas berkawan, mereka bertukar alamat apabila ingin berpisah.

“Apabila pulang, seorang dari mereka yang tinggal di Kedah mengambil keputusan melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar, dia menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan itu.

“Apabila sampai, didapati memang tiada penempatan di situ, selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, baru dia menjumpai kampung dan rumah kenalannya. Tetapi selepas beberapa ketika berada di tangga rumah kenalan itu, dia ditolak seorang pemuda dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan kampung ghaib sebaliknya digantikan dengan semak belukar,” katanya.

Kes ketiga lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta pertolongan Dr Jahid untuk memisahkannya daripada suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun sebelum perkahwinan mereka, lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya mengahwininya atau gadis itu akan mengalami sakit misteri.

Gadis itu enggan menyebabkan dia diserang penyakit misteri selama dua tahun. Akibat tidak tahan menanggung kesakitan sehingga menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju berkahwin dengan lelaki bunian berkenaan.

Bantuan yang diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun dibatalkan gadis itu dipercayai selepas diugut suami buniannya dan sehingga kini, tidak diketahui nasib wanita itu.


FAKTA

- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi keajaiban Allah sama seperti kejadian manusia kembar.

- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan bunian, menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.

- Tidak seperti jin yang boleh terbang dan memiliki kemampuan lain, Bunian hidup seperti manusia dengan berjalan kaki, bercucuk tanam cuma bezanya mereka tidak dilihat manusia walaupun hidup di alam yang sama.

- Bunian boleh menyakiti manusia secara ghaib tetapi bagi bunian yang mempelajari ilmu tertentu, mereka boleh menyakiti manusia secara fizikal.

- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan jin atau bunian adalah kaedah ketukan.

- Tanda-tanda seseorang diganggu bunian atau jin adalah berkelakuan pelik seperti melihat benda ghaib, berat badan kekal tetapi apabila diangkat terasa berat selain kesan aneh pada tubuh badan.

- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian kerana sukar diketahui sama ada bunian itu benar-benar beriman atau kafir.

- Kaedah menjauhkan gangguan bunian atau jin adalah dengan menjaga ibadat wajib dengan sempurna selain memperbanyakkan ibadat sunat serta solat hajat, solat taubat dan berdoa.


[Dari tulisan asal oleh Nasron Sira Rahim]

5 comments:

azilastory said...

Assalamualaikum ustaz... Jadi kesimpulannya di sini apa hukum perkahwinan antara manusia dan bunian ini.. Sah atau tidak...?

azilastory said...

Ustaz.. Tlg lah bg jwpn segera.. Benda ni berlaku dlm keluarga sy.. Sy taknak terusan keliru ni ustaz....

unknown-007 said...

Assalamualaikum... Yang jelas adalah dilarang di dlm islam... Dptkn perbatan islam secepat mungkin(klw ade yg bkar kemenyan 2 jgn lyan,geng2 jin jgk) dan elak dari membuat sebarang perjanjian walaupun kecil....

hayati said...

assalamualaikum ustaz sy pernah dapat mimpi tntg bunian yg ingin mmbuka hijab mata saya kerana gelang yg dia beri kpd sy dah ptus. apa maksud smue tu ustaz.

Unknown said...

Sy x tahu apa yg sy alami....sy x nmpak,tp sy merasa...mereka ada di sekeliling sy...dlm masa yg sama,sy blh elihat perwatakan seseorqng....mcm ada stu bisikan....

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...